Khamis, 13 November 2008

Perwakilan Gopeng terima surat bersama kertas undi

MALAYSIA KINI


Seorang perwakilan ke mesyuarat Umno Bahagian Gopeng pada 26 Oktober lepas, hari ini mendakwa menerima sampul surat kiriman ekspres mengandungi 78 kertas undi bagi beberapa jawatan dalam pemilihan peringkat bahagian itu.

Timbalan Ketua Umno Cawangan Kampung Rapat Jaya, Hang Tuah Din berkata, beliau menerima sampul surat itu empat hari selepas mesyuarat berkenaan, daripada pengirimnya yang menggelarkan dirinya Ikhwah Islamiah dari Sungai Siput.

"Terdapat 78 kertas undi asal yang dipercayai telah dikeluarkan atau ditambah pada mesyuarat berkenaan," kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Menurut laporan Bernama, kertas undi tersebut terdiri lima kertas undi untuk jawatan timbalan ketua Umno bahagian, tiga kertas undi untuk naib ketua bahagian dan 70 kertas undi untuk perwakilan ke perhimpunan agung parti di Kuala Lumpur.

Hang Tuah berkata dalam sampul surat itu terdapat nota yang mengatakan pengirim berkenaan menyedari ada penyelewengan berlaku dalam mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata dua hari selepas mesyuarat berkenaan terdapat 85 lebihan kertas undi bagi jawatan anggota jawatankuasa dan ini menimbulkan syak wasangka bahawa penyelewangan telah berlaku bagi semua jawatan yang dipertandingkan.

Jumaat lalu, 20 ahli perwakilan Umno bahagian Gopeng membuat bantahan terhadap keputusan persidangan perwakilan bahagian berkenaan kerana mendakwa berlaku penipuan dalam pengiraan undi.

Satu memorandum bantahan diserahkan oleh Ketua Umno Cawangan Taman Lapangan Permai, Ahmad Ishak, kepada Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno Negeri Perak Datuk Hasbullah Othman yang mewakili Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Dalam mesyuarat lalu, timbalan ketua bahagian itu Hamzah Mohd Kasim dipilih sebagai ketua dengan memperoleh 186 undi mengalahkan Mustaffa Kamal Mohd Nawi (102 undi) dan Rustam Affandy Abdul Aziz (77 undi).

Tiada ulasan: