Khamis, 13 November 2008

Perlu Adakan Perbincangan Dengan Pihak Polis Sebelum Anjur Perhimpunan – Abdul Khalid

NOOR ALLIA KASSIM


SHAH ALAM – Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jalan terbaik perlu difikirkan sebelum mengadakan sebarang perhimpunan pada masa depan.

Menurut beliau, perbincangan awal dengan pihak polis perlu dibuat bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Kita akan mencari jalan, jika ada perjumpaan di masa depan kita akan mengadakan perbincangan awal dengan pihak polis supaya tidak berlaku keadaan begini,” katanya ketika diminta mengulas penahananan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Ronnie Liu dalam satu perhimpunan di hadapan Dewan Sivik, Petaling Jaya .

Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran turut ditahan bersama Adun Kampung Tunku, Lau Weng San, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua serta jurukamera Malaysiakini, Shukri Mohamad.

Abdul Khalid berkata perhimpunan berkenaan disertai penyokong Bersih yang mengadakan perjumpaan untuk merayakan ulang tahun perhimpunan itu yang genap setahun.

Beliau juga difahamkan yang pihak polis terpaksa mengambil tindakan memandangkan perhimpunan itu tidak mendapat permit.

“Walau bagaimanapun saya telah berhubung dengan ketua polis negeri dan menyatakan adalah baik untuk mereka ini dilepaskan sebab perjumpaan itu adalah secara aman dalam usaha mempertingkatkan kefahaman masyarakat mengenai demokrasi dan pilihan raya,” katanya.

Kesemua 22 orang yang ditahan dalam perhimpunan tersebut bagaimanapun telah dibebaskan, sementara seorang masih ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kes jenayah.

Tiada ulasan: