Selasa, 11 November 2008

Perhilitan rampas 25 jenis hidupan liar RM20,000

UTUSAN ONLINE


PULAU PINANG - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas 25 jenis haiwan liar yang dilindungi bernilai lebih RM20,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Relau di sini Jumaat lalu.

Pegawai Perhilitan Georgetown, Rofley Ambuka berkata, pihaknya turut menemui beberapa jenis haiwan lain di dalam kereta milik suspek berusia 20-an itu yang diletakkan di hadapan restoran milik keluarganya.

Menurut beliau, antara yang ditemui ialah tujuh ekor ular antaranya jenis Madagaskar Tree Boa, Boa Constrictor, Madagascar Ground Boa, Green Tree Phyton, Varanus Gouldii Gouidii, sesumpah, biawak dan kura-kura.

Katanya, kesemua binatang termasuk tujuh ular dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 76/72 dijumpai hidup dan diletakkan di dalam kotak khas oleh suspek.

Tambah beliau, sebelum serbuan dibuat, pihaknya memantau aktiviti di restoran berkenaan selama sehari setelah mendapat maklumat daripada orang ramai bahawa ia menjadi tempat simpanan haiwan liar untuk dijual.

"Serbuan bermula kira-kira pukul 6 petang, 7 November lalu di hadapan restoran suspek dan kami menemui enam kotak khas berisi pelbagai jenis binatang liar di dalam kereta miliknya.

"Hasil daripada maklumat orang awam, kami kemudian telah menyerbu rumah suspek dan menemui pula pelbagai jenis hidupan liar yang diletakkan di ruang tamu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Rofley, mereka percaya suspek telah menjalankan kegiatan haram itu sejak setahun lalu.

Beliau menjelaskan, suspek kini ditahan di bawah Seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar kerana memiliki hidupan liar yang dilindungi.

Katanya, jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun.

"Kesemua binatang itu dipercayai diseludup dari luar dan dalam negeri dan kita sedang menyiasat kemungkinan ia turut dijadikan makanan di restoran berkenaan.

"Binatang yang bukan dilindungi telah dibebaskan ke habitat asal di Taman Negara Teluk Bahang manakala selebihnya dihantar ke Zoo Melaka," katanya.

Tiada ulasan: