Ahad, 9 November 2008

Pas Selangor belum umum nama calon

SINRA HARIAN


SHAH ALAM - Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali tidak tahu menahu adanya nama tertentu telah dicalonkan parti itu untuk mengambil alih teraju utama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang kini dipangku oleh Low Siew Moi memandangkan tiada pengumuman rasmi dibuat mengenainya setakat ini.

"Saya tidak tahu pula Pas Selangor telah mencalonkan individu tertentu untuk jawatan tersebut. Kita tak ada pun sebutnya secara rasmi walaupun kita telahpun ada caLon-calonnya setakat ini," katanya ketika dihubungi, semalam.

Reaksi itu sebagai mengulas desas-desus mengatakan Pas Selangor telah menyebut beberapa nama termasuk bekas Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat, Abdul Rahman Othman dan tokoh korporat, Mohd Yusof Khan sebagai calon untuk menggantikan Madam Low sebagai Pengurus Besar PKNS.

Sinar Harian difahamkan pencalonan kedua-dua tokoh itu dibuat bersandarkan pengalaman dan kebolehan mereka terutama dalam bidang pengurusan organisasi besar yang diyakini memenuhi keperluan kelayakan sebagai peneraju utama anak syarikat kerajaan negeri itu.

"Saya difahamkan lebih 20 permohonan diterima kerajaan negeri untuk jawatan itu termasuklah nama-nama yang dicalonkan Pas tetapi saya tidak boleh menamakan siapa calon-calon itu. Tunggulah dulu," ujarnya.

Dr Hassan menjelaskan, kedua-dua calon tersebut mungkin telah dinamakan pemimpin lain dalam Pas negeri namun menegaskan tiada pengumuman rasmi mengenainya telah dibuat parti.

Dalam perkembangan lain, pemimpin Pas Selangor mahu kerajaan negeri membuat pertimbangan melantik Canselor baru Universiti Industri Selangor (Unisel) menggantikan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dari kalangan tokoh ilmuwan anak tempatan.

Dr Hassan berkata, Pas Selangor positif dengan bantahan dikemukakan Pemuda Pakatan Rakyat kelmarin berdasarkan beberapa faktor termasuklah realiti kerusi tersebut bukan kekal untuk individu tertentu sahaja.

"Bila bergelar isteri Perdana Menteri kelak, saya yakin beliau mungkin dihimpit kesibukan yang menghadkan komitmen sebagai Canselor. Kemungkinan juga beliau tidak mempunyai ruang masa yang sepatutnya selepas ini dalam memberi tumpuan terhadap Unisel.

"Lagipun kita kena terima hakikat siapapun duduk di kerusi tersebut pasti ada penamatnya, mungkin ada calon yang lebih sesuai boleh diberi ruang khususnya di kalangan anak-anak Selangor sendiri," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudaham Awam berkata demikian ketika diminta reaksi mengenai tindakan Pemuda PR menyerahkan surat bantahan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung kedudukan Rosmah sebagai Canselor universiti milik penuh kerajaan negeri itu.

Memorandum itu diserahkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Khairul Anuar Ahmad Zainudin kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini, kelmarin yang turut dihadiri Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Mohd Sany Hamzan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San.

Tambah Dr Hassan, rakyat Selangor juga perlu menerima realiti negeri itu kini ditadbir kerajaan campuran PR yang memerlukan perubahan tertentu dilakukan bagi melancarkan pentadbiran dan pemerintahan.

"Agak ganjil sedikit kalau Unisel diterajui pimpinan yang secara kebetulannya tidak termasuk dalam gabungan kerajaan PR dan saya berpendapat eloklah diberi ruang kepada anak tempatan," katanya.

Tiada ulasan: