Khamis, 13 November 2008

PAS perhalusi keahlian bersekutu

Abdul Rahim Sabri


Kepimpinan tertinggi PAS telah membincangkan secara mendalam kemungkinan membuka keahlian bersekutu kepada bukan Islam dalam PAS.

Ia merupakan atara dua agenda utama yang dibincangkan sesi permukiman pimpinan PAS selama tiga hari di Langkawi pada hujung minggu lalu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Mohamed Daud Iraqi yang turut menghadiri sesi permukiman tersebut.

Menurutnya, isu keahlian tersebut perlu dibincangkan dengan mendalam dan terperinci dalam siri-siri pertemuan pimpinan PAS.

Katanya, ini kerana ianya melibatkan dasar PAS yang harus dibawa ke muktamar tahunannya dan memerlukan pindaaan perlembagaan parti.

Isu keahlian bersekutu bukan Islam dan langkah mengukuhkan hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat, menjadi topik perbahasan panas dalam muktamar parti yang ke-54 di Ipoh Ogos lalu.

Usul membabitkan perkara tersebut turut diluluskan oleh perwakilan muktamar tersebut untuk diperhalusi oleh kepimpinan parti.

Kelab penyokong

Sejak 2004, PAS telah menubuhkan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang dianggotai oleh penyokong bukan Islam di peringkat negeri, dengan keahliannya kini mencecah 18,000 orang.

Berikutan sokongan yang menggalakkan dari kalangan pengundi bukan Islam terhadap calon PAS dalam pilihanraya umum Mac lalu, Dewan Pemuda PAS pusat melangkah setapak lagi dengan menubuhkan Kelab Penyokong Muda PAS (KPMP) yang dilancarkan di pejabat agung PAS di ibunegara Sabtu ini.

Menurut Mohamed Daud lagi, sesi permukiman itu dihadiri oleh anggota Majlis Syura Ulama dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Mereka termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Menurut beliau lagi, pimpinan PAS juga turut membincangkan bagaimana untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat.

"Kita perhalusi lagi syarat-syaratnya. Kita akan memanggil pimpinan pelbagai peringkat, duduk sekali.

"Kita fikir masak-masak (bagaimana) untuk memperkukuhkan Pakatan," katanya.

Tiada ulasan: