Jumaat, 7 November 2008

PAS bermukim, atasi konflik terbuka

Abdul Rahim Sabri
kemaskini 6:40pm


Barisan pemimpin tertinggi PAS bermukim di Langkawi hari ini bagi membincangkan hala tuju parti selepas pergeseran terbuka mereka berhubung pembentukan kerajaan baru Pakatan Rakyat dan rundingan dengan Umno.

Pertemuan tiga hari yang bermula petang ini akan diadakan di sebuah resort di Pantai Chenang melibat anggota Majlis Syura Ulama dan ahli jawatankuasa pusat PAS.

Timbalan yang dipertua PAS Langkawi, Mazlan Ahmad berkata selaku tuan rumah, pihaknya sedang menyediakan persiapan terakhir dan pendaftaran untuk permukiman tersebut.

Beberapa kertas kerja dijadual dibentangkan pemimpin PAS, termasuk mengulas ucapan dasar presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muktamar Ogos lalu.

Kedudukan PAS dalam kerjasama Pakatan Rakyat, khususnya perkembangan dasar-dasar yang dikuasai kerajaan negeri dipercayai akan menjadi bahan diskusi hangat.

Mazlan menambah, permukiman ini akan bermula selepas solat Jumaat.

Dihubungi Malaysiakini dalam perjalanannya ke Langkawi, pesuruhjaya PAS Perlis, Hashim Jasin menjelaskan permukiman ini bertujuan menyelesaikan perbezaan pendapat berhubung isu-isu yang berkaitan parti itu dan Pakatan Rakyat.

Wakil rakyat Sanglang, yang juga ahli Majlis Syura Ulama, berkata pertemuan itu juga dijangka membincangkan hal-hal berkaitan pertukaran kerajaan persekutuan seperti sedang diusahakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ataupun sekurang-kurangnya kita mendapat maklumat mutakhir daripada pihak atasan (pimpinan tertinggi)," kata Hashim.

Sementara pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang menjelaskan permukiman itu akan bermula esok, manakala pertemuan yang bermula 8 malam ini hanyalah mesyuarat bulanan ahli jawatankuasa pusat PAS.

Katanya, permukiman tersebut turut membahaskan ucapan presiden ke arah menyatukan pandangan-pandangan barisan pemimpin PAS.

"Ucapan presiden adalah untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Atas asas itu kita akan susun pelan bertindak dan memainkan peranan asas itu (memperkukuh Pakatan)," katanya.

Ahmad menambah, PAS juga akan merangka strategi supaya segala dasar-dasarnya difahami di segenap peringkat anggota parti dan tidak menimbulkan perselisihan lagi.

Katanya, dasar PAS diterima oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat, misalnya kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang ingin menegakkan 'amar makruf nahi munkar' dalam pentadbiran kerajaan negerinya.

"Nampaknya banyak pendekatan kita boleh diselaraskan dan Pakatan akan bertambah kuat," tambahnya.

Tiada ulasan: