Ahad, 9 November 2008

Mongolia akan bawa kes Altantuya ke mahkamah pengadilan antarabangsa?
Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Kerajaan Mongolia yang kecewa dengan tindakan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan tertuduh, Razak Baginda akan membawa kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu ke mahkamah pengadilan antarabangsa.

Beberapa blog penganalisis politik dan aktivis hak asasi manusia melaporkan perkembangan tersebut yang disiarkan dalam sebuah laman web Mongolia.

Menurut aktivis hak asasi manusia, Amin Iskandar, jika kes ini didengari di mahkamah pengadilan antarabangsa, perbicaraan akan bermula dari awal dan semua yang terkait dan terlibat boleh dipanggil untuk memberikan keterangan.

"Mungkinkah pada ketika kes itu bermula, Perdana Menteri Malaysia akan menjadi salah seorang yang dipanggil?," katanya sinis.

Sementara itu sebelum ini, bapa Altantuya Dr Shaariibuu Setev, telah menghantar surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menggesa beliau mengemukakan rayuan terhadap pembebasan penganalisis politik, Abdul Razak.

Karpal Singh yang merupakan peguam pemerhati bagi keluarga wanita Mongolia itu, berkata beliau menyerahkan surat itu bagi pihak Dr Shaariibuu, kepada Abdul Gani tengah 3 November lalu.

Katanya, beliau turut menghantar surat itu melalui faksimili ke Pejabat Peguam Negara sebelum ini.

Mengikut undang-undang, pendakwaan diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Tempoh itu tamat 17 November.

Abdul Razak, 48, dibebaskan tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan Altantuya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Dato' Mohd Zaki Md Yasin pada Jumaat lalu.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, dituduh bersubahat dengan dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Insp Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dalam pembunuhan Altantuya di Wilayah Persekutuan antara jam 9.54 pagi 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam keesokannya.

Azilah, dan Sirul Azhar diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh ibu dua anak lelaki yang berumur 28 tahun itu di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara jam 10 malam 19 Okt 2006, dan 1 pagi keesokannya. Mereka menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan.

Semasa memutuskan pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap Abdul Razak, mahkamah menerima afidavit Abdul Razak yang mengandungi kenyataan pembuktian tidak bersalah yang menurut mahkamah telah menyangkal dan membatalkantuduhan bersubahat yang dihadapinya. - mks. _

Tiada ulasan: