Ahad, 9 November 2008

MB seru Pegawai PKNS disiasat BPR beri kerjasama

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru beberapa pegawai kanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang terlibat dalam siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) memberi kerjasama yang penuh berhubung dakwaan menerima elaun daripada syarikat-syarikat pemaju yang bekerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri itu.

"Sebagai sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab dan mementingkan ketelusan, kerajaan negeri menyeru BPR untuk mempercepatkan proses siasatan jika terdapat bukti-bukti awal yang kukuh supaya kes selesai secepat mungkin,"katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga peka terhadap beberapa amalan-amalan yang tidak lazim (irregularities) yang berlaku dalam anak syarikat kerajaan negeri Selangor di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu.

"Perkara ini adalah antara sebab mengapa kerajaan Pakatan Rakyat berpendapat anak syarikat kerajaan negeri Selangor termasuk PKNS perlu dibersihkan.

"Kerajaan negeri juga menyeru orang ramai untuk tampil ke hadapan bagi memberikan kerjasama untuk menolong membasmi gejala rasuh ataupun penyalah guanan daripada terus merebak,"jelasnya.

Tan Sri Khalid berharap, menerusi pelantikan Pengurus Besar PKNS yang baru tidak lama lagi, kerajaan negeri juga yakin dan percaya semua amalan-amalan tidak sihat yang dilakukan sejak pemerintahan terdahulu akan dapat dihapuskan sama sekali.

"Menerusi pelantikan baru ini diharapkan ia akan dapat mencapai matlamat asal bagi memberi fokus kepada perniagaan pembangunan hartanah yang diceburi, di samping meningkatkan pembanguunan sosio-ekonomi masyarakat,"katanya. - mks._

Tiada ulasan: