Jumaat, 7 November 2008

Mahkamah Sesyen tetap dengar kes liwat Anwar

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI, sehingga 6.00 petang]


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini memutuskan kes tuduhan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Hakim S.Komathy Suppiah menetapkan Jumaat depan untuk sebutan kes bagi pihak pendakwaan menyerahkan dokumen yang berkaitan kepada pihak pembelaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, sijil yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bagi memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi adalah tidak sah.

Beliau berkata, keputusan itu berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini yang mengatakan Abdul Gani tidak akan terlibat di dalam kes ini.

Selain itu, keputusannya itu disokong oleh dua afidavit iaitu laporan polis Anwar terhadap Abdul Gani supaya tidak terlibat di dalam kes tersebut dan afidavit Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berhubung janji Perdana Menteri itu.

Sementara itu, ketika bercakap kepada media di luar mahkamah, Anwar berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan hakim.

"Saya menyambut baik keputusan hakim kerana dari awal saya melahirkan kebimbangan kerana kes ini sama seperti kes 1998 iaitu sebahagian pihak polis dan Peguam Negara cuba untuk mengkhianati prinsip perundangan.

"Saya kuatkan hujah saya bahawa Peguam Negara terlibat dalam mengkhiananti saya dengan mengemukakan fakta palsu dan perkara ini kini disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan saya yakin dengan fakta ini BPR tidak boleh menolak kemungkinan mengajukan kes ini ke mahkamah," katanya.

Menurutnya kebimbangan yang dimaksudkan itu ialah supaya kes tersebut dikendalikan secara profesional seperti yang dijamin oleh Perdana Menteri ketika membuat kenyataan secara terbuka ketika mengadakan pertemuan dengan Azizah dan Nurul Izzah.

Tambah beliau lagi keputusan tersebut menunjukkan hakim sentiasa tunduk kepada prinsip keluhuran undang-undang serta memilih untuk tidak menerima tekanan daripada mana-mana pihak.

Terdahulu, Hakim S.Komathy Suppiah mula membacakan penghakiman ketika sidang bermula pada pukul 3.17 petang tadi.

Wartawan dilihat mula memasuki mahkamah pada pukul 2.45 petang. Bagaimanapun, perkarangan mahkamah hari ini agak lengang.

Pada 31 Oktober lalu, peguam bela yang diketuai Sulaiman Abdullah mengemukakan hujah tambahan berhubung isu campur tangan Abdul Gani yang telah menandatangani surat kuasa memindahkan kes tersebut.

Sementara itu, pasukan pendakwa raya turut mengemukakan hujah tambahan berkaitan isu tersebut.

Kes Anwar menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan masuk hari ketujuh di Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini selepas ditangguhkan pada 8 Oktober lalu.

Perbicaraan kes liwat Anwar masih berada di peringkat awal dengan mahkamah mendengar hujah bantahan pihak pembelaan berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Hujah bantahan oleh pihak pembelaan melibatkan persoalan mengenai tandatangan Peguam Negara pada sijil perakuan yang dilampirkan kepada mahkamah untuk memindahkan kes tersebut di bawah Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah.

Persoalan itu timbul kerana Abdul Gani kini disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah Anwar membuat laporan polis terhadapnya.

Tiada ulasan: