Rabu, 12 November 2008

Lebih 2 calon mufti Perlis: MAIPs

Jimadie Shah Othman


Lebih dua tokoh agama dicalonkan untuk jawatan mufti Perlis menggantikan tokoh popular Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang akan menamatkan perkhidmatan hujung bulan ini.

Setiausaha Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), Malik Hussin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama lain yang dicadangkan.

Pada 7 Oktober lalu, Dr Mohd Asri mencadangkan dua kenalannya, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azwira A Aziz dan bekas naib mufti Sarawak, Dr Juanda Jaya kepada istana bagi mengisi kerusi penting itu.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Malik berkata, dua nama itu cadangan Dr Mohd Asri. Pihak-pihak lain juga, tambahnya, boleh mencadangkan nama-nama lain.

"Yang dipanggil berbincang secara tidak rasmi, tidak boleh disebut di sini," katanya yang juga pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).

"Desas-desus (dua calon itu) biarlah."

Ditanya tentang status pencarian jawatan terpenting dalam pentadbiran agama Islam negeri itu, beliau berkata, MAIPs belum membincangkannya.

"Mungkin ada mesyuarat khas membincangkan perkara ini," katanya.

Bagaimanapun, tambah beliau, tarikhnya juga belum diputuskan.

Ahli-ahli majlis mesyuarat badan agama berpengaruh di Perlis itu terdiri wakil-wakil organisasi agama kerajaan, menteri besar Datuk Seri Isa Sabu, setiausaha kerajaan negeri dan Raja Muda Perlis sebagai yang dipertuanya.

Mesyuarat terakhir 3 November lalu, tambah Malik, tidak membincangkan pelantikan mufti baru.

"Dalam mesyuarat di Jakarta (minggu lalu) kita bincang soal pertadbiran melibatkan pelantikan imam, amil, zakat dan memperakui fatwa yang dibuat," katanya.

Ditanya tentang prosedur pelantikanya ke jawatan penting itu, Malik berkata, kerajaan negeri melalui mesyuarat exconya mesti mengenal pasti calon-calonnya.

Nama-nama itu kemudiannnya dikemukakan kepada MAIPs sebelum dibawa untuk pentauliahan dan perkenan Raja Perlis.

Keputusan akhir, katanya, tertakluk kepada perkenan baginda.

"(Mufti) ini jawatan pelantikan (kerajaan) negeri. Bagaimanapun, untuk dilantik mesti ditauliahkan oleh Tuanku. Ini termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis 1963."

Kuasa baginda dalam hal ini seumpama pelantikan kadi dan menteri besar.

Tiada ulasan: