Isnin, 3 November 2008

LDP mahu ISA, DEB dikaji semula

BERNAMA


SANDAKAN: Kongres Tahunan Ke-19 Parti Liberal Demokratik (LDP) meluluskan resolusi untuk menggesa kerajaan mengkaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Lebih 1,000 perwakilan yang hadir dalam kongres itu sebulat suara meluluskan resolusi itu sebelum kongres sehari itu ditutup oleh Presiden LDP, Datuk Liew Vui Keong.

Liew yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, resolusi itu yang akan dikemukakan kepada kerajaan dan pucuk pimpinan Barisan Nasional, menggesa kerajaan menyemak semula sama ada ISA masih relevan dan menjelaskan skop akta itu.

"Kami juga menggesa kerajaan untuk menyemak semula dan memperbaharui Dasar Ekonomi Baru (DEB) secara komprehensif bagi mencerminkan realiti politik, sosial dan ekonomi di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan kongres itu di sini semalam.

Liew berkata, kongres juga meluluskan pelantikan bekas Presiden LDP, Tan Sri Chong Kah Kiat sebagai Penasihat Kehormat Seumur Hidup parti.

Terdahulu dalam ucapannya, Liew berkata, ISA tidak lagi relevan kerana negara tidak lagi berdepan dengan ancaman komunis seperti pada 1960-an.

"Keadaan dalam negara kini telah berubah. Walaupun kita tidak dapat menafikan yang keganasan global mengancam kita dan keselamatan negara kita, kita perlu mempunyai dasar yang komprehensif untuk menangani pengganas yang amat berbeza dengan lawan dan penentang dalam politik," katanya.

Katanya, semakan semula DEB perlu dilakukan melalui konvensyen yang akan membincangkannya secara mendalam dan menganalisis keputusan, hasil dan kesan pelbagai program dan dasar DEB sebelum ini.

"Konvensyen ini kemudian boleh merumuskan dasar dan strategi pembangunan ekonomi negara yang baru dan lebih adil kepada semua kaum di negara ini. Ia boleh menggubal rancangan yang lebih dinamik, saksama dan menyeluruh," katanya.

Tiada ulasan: