Ahad, 9 November 2008

Kini 20 ribu ahli Kelab Penyokong PAS - Dr Mujahid

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Penubuhan Kelab Penyokong Muda PAS telah membuka ruang yang lebih luas bagi PAS untuk menambahkan sokongan daripada generasi muda daripada kaum yang lain.

Pengerusi Lajnah Perpaduan PAS, Dr Mujahid Yusuf Rawa merakamkan tahniah di atas usaha yang dilakukan oleh sayap PAS, Dewan Pemuda PAS dengan penubuhan Kelab Penyokong Muda PAS, sebagai kesinambungan kewujudan Kelab Penyokong PAS.

Dalam responsnya kepada Harakahdaily mengenai penubuhan kelab tersebut, katanya, dengan adanya Kelab Penyokong Muda PAS ini, keahlian Kelab Penyokong PAS mungkin akan bertambah.

Jelas Mujahid, melalui data yang telah dikemas kini oleh Lajnah Perpaduan Nasional, seramai 20,000 orang telah berdaftar sebgai ahli Kelab Penyokong PAS.

"Jika sebelum ini sukar untuk kita mengadakan aktiviti yang hanya melibatkan golongan muda. Bagaimanapun, dengan adanya Kelab Penyokong Muda PAS ini, kita boleh fokuskan aktiviti untuk mereka yang berumur bawah 40 tahun,"katanya, sewaktu dihubungi baru-baru ini

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mujahid dalam kenyataanya turut melontarkan mengenai perkembangan terkini mengenai perpaduan nasional.

Jelasnya, isu seperti kenyataan tentang pertikaian fakta sejarah, tuntutan kuota 30% pemilikan korporat untuk bumiputera dan pelantikan Pengurus Besar PKNS bukan dari orang Melayu menimbulkan berbagai perspektif yang boleh menggugat perpaduan sekaligus kestabilan politik negara.

Sehubungan itu beliau menyeru supaya semua pihak mengawal emosi masing-masing dan melihat perspektif yang lebih besar dari kepentingan politik perkauman.

Tegasnya, seharusnya konsensus terhadap kontrak sosial, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara menjadi penghayatan yang perlu dinyatakan maknanya untuk kepentingan semua rakyat Malaysia.

Justeru beliau mengharapkan, sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat, pengecaman kepada kaum dan identiti budaya masing-masing hanya akan meningkatkan lagi ketaksuban dan sentiment perkauman.

"Seharusnya kita menghindari syak wasangka dan mentaliti ethno-centric yang sentiasa mengundang konflik sosial samada secara sembunyi atau nampak yang melihat kaum lain dengan kacamata kebencian dan permusuhan.

"Rakyat juga seharusnya menghayati kontrak sosial sebagai satu toleransi yang asasnya meletakkan Raja Melayu, Agama Islam dan orang Melayu sebagai asas kepada terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Persekutuan Malaysia. Dengan pemahaman ini masing-masing akan lebih peka dalam menyampaikan apa sahaja pandangannya yang membina untuk negara,"tegasnya.

Mujahid berkeyakinan, dengan langkah-langkah ini, keruncingan dari masalah perkauman hari ini dapat diselamatkan apatah lagi selama ini negara diperintah dengan hegemoni BN yang menyalahgunakan kerangka dan asas negara untuk tujuan kepentingan sempit politik perkauman. - mks. _

Tiada ulasan: