Khamis, 20 November 2008

Kes liwat Anwar, mahkamah tangguh lagi

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - "Saya mahu kes ini diselesaikan dengan cepat...tak mahu tangguh-tangguh...jadi strategi mereka berjaya sebab suka tangguh-tangguh."

Demikian luah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim apabila ditemui luar mahkamah pagi tadi.

Dalam keputusan pagi tadi,Mahkamah Tinggi menetapkan untuk mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada 5 dan 6 Februari depan berhubung permohonan pendakwa raya untuk semakan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan kes liwat Anwar dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Dato' Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Sementara itu, Mstar Online melaporkan, pihak pembelaan memohon supaya Anwar dikecualikan daripada menghadiri sesi berkenaan.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut tanpa bantahan pihak pendakwa.

Terdahulu, Anwar tiba di mahkamah pada jam 9 pagi bersama isteri, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Mahkamah mula bersidang jam 9.12 pagi.

Anwar ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau akur dengan keputusan penangguhan tersebut.

"Saya mahu kes ini diselesaikan dengan cepat...tak mahu tangguh-tangguh.

"Jadi strategi mereka berjaya sebab suka tangguh-tangguh," katanya ringkas.

Minggu lalu, Hakim Mahkamah Sesyen S. M. Komathy Suppiah memerintahkan kedua-dua pihak mendapatkan arahan dan perintah daripada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah hari ini berhubung permohonan pendakwa raya bagi semakan serta penangguhan semua prosiding sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi.

Anwar, 61, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Pada 7 November lalu, Komathy menolak permohonan pihak pendakwaan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas memutuskan sijil untuk memindahkan kes yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail adalah tidak sah.

Abdul Gani sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah berhubung satu laporan oleh Anwar bahawa Abdul Gani memalsukan keterangan dalam siasatan insiden "mata lebam" semasa Anwar ditahan polis pada 1998. - mks. _

Tiada ulasan: