Selasa, 11 November 2008

Kecewa ISN tak ikut peraturan

Oleh Meor Hisham Zulkifli


PERATURAN yang tidak dituruti menjadi isu utama yang ditimbulkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika melakukan lawatan mengejut ke gimnasium Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil, semalam.

Beliau meluangkan masa hampir sejam di gimnasium itu bagi mencari punca dan melihat dengan lebih dekat lokasi insiden malang yang menimpa atlit lompat tinggi negara, Lee Hup Wei minggu lalu.

Nyata Ismail Sabri kecewa apabila dimaklumkan peraturan yang ada menetapkan sekurang-kurangnya satu pasukan perubatan perlu sentiasa ada sehingga jam 7.30 malam.

"Saya dimaklumkan kejadian berlaku jam 5.45 petang, tetapi mengapa tiada pegawai perubatan di kawasan sekitar MSN. Kita ada ambulans tetapi mengapa perlu guna van MSN (Majlis Sukan Negara) untuk hantar Hup Wei, sejam selepas dia menderita kesakitan," katanya.

"Isu di sini bukan kemalangan yang menyebabkan Hup Wei patah tangan, tetapi mengapa pegawai perubatan yang sepatutnya ada, tiada ketika kejadian. Adakah kerana semua doktor dihantar ke Terengganu (Kejohanan Kuda Lasak Dunia), kita belum tahu.

"ISN janji hantar laporan bertulis hari ini (semalam)," katanya.

Dalam insiden malang petang Selasa lalu, Hup Wei yang ditemani jurulatih Jorge Luiz Alfero dan Low Cwee Peng menjalani latihan di Gimnasium Jungle yang terletak kira-kira 150 meter dari klinik ISN, tergelincir menyebabkan lengan kirinya patah.

Ismal Sabri berkata, apa yang pasti adalah ISN perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kerana tinjauan mendapati tiada sebarang masalah di gimnasium berkenaan.

"Selepas mendengar penerangan pegawai di gimnasium, saya puas hati dengan semua langkah keselamatan yang diambil pegawai di sini. Ada pegawai yang bertugas ketika kejadian dan jelas ini satu kemalangan.

"Namun apa yang ingin diketahui ramai, mengapa doktor yang sepatutnya ada, tetapi tiada. Orang ramai tidak marah andai berlaku kemalangan kerana ia boleh berlaku di mana-mana tetapi mengapa benda yang sepatutnya ada, tiada ketika itu," katanya.

Dalam lawatan hampir dua jam itu termasuk ke Cafe Atlit, Ismail Sabri turut bertemu dengan beberapa atlit yang menegaskan, sesi latihan mereka tidak tertakluk pada waktu pejabat dan kebanyakan hujung minggu turut dipenuhi dengan latihan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz, menyatakan kejadian berlaku adalah di luar waktu pejabat selain pasukan perubatan pada hari itu dikerah ke Terengganu serta mengawasi beberapa kejohanan di sekitar Kuala Lumpur.

Sementara itu, Hup Wei yang ditemui di klinik ISN berkata, doktor memaklumkannya dia tidak dapat berlatih atau mengambil bahagian dalam sebarang kejohanan sekurang-kurangnya tiga bulan selepas pembedahan.

Tiada ulasan: