Selasa, 11 November 2008

Jual diesel subsidi,LKIM digesa turun padang

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (Cash), Dato' Patrick Sindu menggesa agar Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turun padang menyelesaikan kemelut penjualan diesel bersubsidi di Pantai Timur Sabah.

Beliau turut mencadangkan agar LKIM melantik seorang anak jati Sabah sebagai pengurus yang berkaliber untuk mentadbir-urus, menyelia dan menentukan halatuju Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) dalam bidang perniagaan minyak diesel bersubsidi.

Di samping itu katanya, usahasama yang sedia terjalin dengan beberapa pihak swasta wajar diteruskan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi bagi membolehkan Pengasah mem-punyai pengalaman untuk menjalankan perniagaan berkenaan dan bukannya sebagai 'Commision Agent' sahaja.

Patrick dalam kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini, juga mengharapkan LKIM menyediakan pakej suntikan dana modal pusingan dalam bentuk pinjaman jangka panjang sekurang-kurangnya RM1 juta bagi setiap persatuan nelayan kawasan.

"LKIM wajib menunaikan janji dan tanggung jawab untuk membina jeti pendaratan ikan dan infrastruktur bagi 14 persatuan nelayan kawasan yang berdaftar di seluruh Sabah.

"LKIM juga harus menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM100,000 bagi setiap persetuan nelayan kawasan sebagai insentif bagi menjana aktiviti persatuan,"katanya.

Patrick juga menyatakan beliau menerima aduan setiap hari daripada para nelayan di kawasan Pantai Timur Sabah yang menderita kerana diesel bersubsidi tidak sampai kepada mereka, diseludup keluar dan dijual pada kadar harga yang tidak berpatutan.

Sehubungan itu, pihaknya telah menjalankan kajian rambang di semua kawasan Pantai Timur yang merangkumi Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Sandakan dan Beluran untuk mengenalpasti kesahihan aduan ini.

Daripada kajian tersebut, pihaknya mendapati penjualan diesel bersubsidi yang diserahkan kepada agen tunggal iaitu Ko-Nelayan tidak wajar dan berlaku kepincangan sehingga beberapa depoh penjualan minyak diesel bersubsidi disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan telah ditutup kerana berlaku penyelewengan.

Ekoran daripada itu katanya, kerajaan membuat ketetapan bahawa mulai 1 Januari 2009, penjualan minyak diesel bersubsidi akan dikendalikan sepenuhnya oleh Pengasah. - mks. _

Tiada ulasan: