Rabu, 19 November 2008

India sekat cubaan seludup ketamine RM20 juta ke Malaysia

BERNAMA


CHENNAI – Pihak berkuasa India berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah ketamine ke Malaysia seberat 197 kilogram bernilai kira-kira RM20 juta melalui Pelabuhan Chennai Isnin lalu.

Rampasan tersebut adalah terbesar oleh Direktorat Risikan Hasil India (DRI) sejak 2006.

Berdasarkan laporan risikan, pegawai DRI di sini telah menemui dadah tersebut selepas memeriksa konsainmen dalam bakul yang diisytiharkan sebagai bawang kecil Bangalore dalam nota dokumen kastam.

Dalam kenyataan DRI di sini, terdapat 988 raga untuk dieksport dan daripada jumlah itu, 920 bakul diisi dengan bawang Bangalore manakala 68 bakul lagi diisi dengan dadah itu dalam peket plastik.

“Terdapat 13,660 peket plastik mengandungi bahan berbutir warna putih dan serbuk itu menyerupai ketamine hidroklorik dengan jumlah seberat 197 kg,” katanya.

DRI berkata mereka telah menahan 11 suspek berhubung cubaan penyeludupan dadah itu ke Malaysia tetapi tidak menyatakan butiran lanjut mengenai dalang di sebalik perbuatan jenayah itu.

Sejak Ogos 2006, pihak DRI Chennai telah merampas sejumlah 460 kg dadah ketamine bernilai-kira RM40 juta.

Tiada ulasan: