Khamis, 13 November 2008

GMI serah 50,000 poskad bantah guna ISA

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuh ISA (GMI) hari ini menyerahkan 50,000 poskad bantahan rakyat terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menggesa kerajaan memansuhkan akta tersebut.

Memorandum berupa poskad tersebut dijadual untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen hari ini namun gagal kerana Abdullah tidak hadir.

Bagaimanapun memorandum tersebut diserahkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ahli Parlimen Pakatan Rakyat, Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Charles Santiago (DAP-Klang).

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata penyerahan poskad tersebut ialah sebagai tanda bantahan kepada akta yang dianggap zalim serta mencabuli hak asasi manusia.

"Poskad ini bukan sekadar sekeping poskad. Poskad ini diisi nama dan ditandatangani dengan kesedaran tinggi tentang kezaliman ISA dan melambangkan luahan sebenar rakyat terhadap akta yang dikatakan melindungi keselamatan negara.

"Poskad ini memberi mesej yang jelas supaya kerajaan mengambil perhatian terhadap tuntutannya," katanya.

Menerusi poskad tersebut jelas menuntut mengenai tiga perkara iaitu supaya ISA dimansuhkan, semua tahanan ISA dibebaskan dan supaya kem tahanan ISA di Kamunting ditutup.

"GMI selalu mendengar kenyataan-kenyataan yang mengatakan penggunaan ISA adalah tidak sewenang-wenangnya, namun sebenarnya kenyataan itu ternyata berbeza daripada realiti," katanya.

Tegasnya lagi apa jua penahanan tanpa bicara serta tidak melalui proses perbicaraan secara terbuka akan memberi kesempatan luas kepada pihak berkuasa sama ada pihak polis atau parti politik yang memerintah untuk menyalahgunakan akta ini untuk kepentingan sendiri.

"Semua tahanan ISA mestilah dibebaskan atau dibicarakan di makamah, akta tanpa bicara ini perlu dimansuhkan demi masa depan rakyat dan negara," katanya.

Hadir sama sewaktu penyerahan memorandum tersebut ialah isteri kepada salah seorang tahanan ISA, Norlaila Othman.

Dalam kenyataan ringkasnya beliau menuntut supaya suaminya, Mat Sah Mohd Satray dan semua tahanan ISA yang lain dibebaskan dengan segera.

"Saya hanya mahukan suami saya dibebaskan dengan segera, begitu juga dengan tahanan lain kerana tiada bukti yang mengatakan mereka ini bersalah," katanya.

Norlaila menjelaskan beliau pernah memfailkan habeas corpus pada tahun 2004 namun gagal kerana permohonannya itu ditolak mahkamah.

Tiada ulasan: