Jumaat, 7 November 2008

GMI rancang himpunan besar bantah ISA Mac depan

Salmiyah Harun


KUALA LUMPUR - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) sedang merancang mengadakan satu perhimpunan besar-besaran pada Mac tahun depan di Kuala Lumpur bagi mendesak kerajaan memansuhkan Akta ISA serta membebaskan semua tahanan.

Naib Presiden PAS Muhamad Sabu ketika dalam sidang media semalam berkata, akta drakonian itu semakin mendapat tentangan daripada semua pihak termasuklah parti komponen BN iaitu Gerakan dan MCA.

Pelancaran himpunan itu adakan diadakan pada 23 November ini yang akan dihadiri oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim.

Biarpun mendapat tentangan hebat katanya, sehingga kini kerajaan dilihat masih tidak melakukan apa-apa ke atas tuntutan rakyat itu.

"Justeru, GMI bercadang akan membuat perhimpunan besar-besaran memansuhkan ISA seperti mana Himpunan Bersih pada 10 November 2007 yang telah memberi tamparan hebat kepada kerajaan," katanya di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Muhamad Sabu juga memberi jaminan bahawa perhimpunan itu nanti adalah perhimpunan aman dan pihak penganjur tidak sekali-kali melakukan kekerasan.

"Kami juga yakin tidak ada halangan daripada mana-mana pihak termasuklah pihak berkuasa sebab ia perhimpunan aman, dalam perhimpunan Bersih terbukti ia adalah yang paling aman, tidak ada kekerasan melainkan ada pihak yang cuba melakukan provokasi," katanya.

Beliau juga percaya akan ramai lagi NGO turut serta dalam perhimpunan itu nanti termasuklah parti politik daripada BN.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub berjanji akan mamastikan himpunan nanti mendapat sambutan dan dokongan daripada semua pihak.

"Saya akan menggerakan seluruh tenaga pemuda PAS seluruh negara dengan ini akan menjadi pemangkin dan semangat supaya perhimpunan ini akan menjadi realiti," katanya.

Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh berkata, lebih 83 NGO yang bergabung dengan GMI akan turut serta dalam perhimpunan itu nanti.

"Perhimpunan ini bukan perhimpunan kaum atau agama tetapi ia mahu menghapuskan kezaliman kerajaan terhadap mereka yang ditahan tanpa bicara itu," katanya.

Sejak GMI ditubuhkan pada 2001, katanya usaha GMI berterusan untuk menuntut akta itu dimansuhkan bukannya kerana penahanan Hindraf atau beberapa aktivis lain.

"Usaha ini bukan usaha baru, malah kami berterusan mendesak kerajaan memansuhkan dan mendedahkan kezaliman ISA itu, walaupun tahanan di buat ke atas Hindraf," katanya. - mns _

Tiada ulasan: