Isnin, 10 November 2008

Ekonomi: Najib - Anwar dicadang berdebat

SIASAH DAILY


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mencadangkan debat terbuka mengenai belanjawan negara antara Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jika Najib merasa beliau tidak cukup masa dan kesempatan untuk memberi ruang pembangkang meminta penjelasan darinya di dalam Dewan Rakyat, satu debat terbuka mengenai belanjawan boleh diadakan antara beliau serta dua wakil di pihak Barisan Nasional (BN) dengan Anwar serta wakil dari PAS dan DAP di pihak Pakatan Rakyat (PR)," katanya.

Debat tersebut boleh dibuat di mana sahaja yang dipersetujui oleh Najib termasuk menggunakan kemudahan di Dewan Rakyat sendiri di luar waktu persidangannya dan disiarkan secara langsung untuk dinilai oleh rakyata, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

"Sebagai tokoh yang akan menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, hentikanlah sikap jaguh kampung yang hanya berani membidas dan mengecam di belakang pembangkang tetapi tidak berani berbahas secara berhadapan mengenai belanjawan negara," kata Mahfuz.

Beliau juga meminta Najib menghentikan pelbagai dakwaan mengenai ekonomi negara.
"Najib terus-menerus membuat pelbagai kenyataan bercanggah mengenai ekonomi Malaysia.

"Sekejap kata Malaysia tidak akan terjejas, selepas itu kata Malaysia juga akan turut menerima kesan kemelut ekonomi dunia. Satu ketika mendakwa Malaysia mempunyai fundamental kukuh, selepas itu nak gunakan pula lagi RM7 bilion untuk menghadapi kesan kegawatan ekonomi. Najib seperti orang yang terpinga-pinga," katanya lagi.

Paling akhir, Najib tampil dengan dakwaan kononnya Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi teknikal pada tahun hadapan.

Dakwaan itu bertentangan dengan jangkaan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Mohamed Ariff yang menjangkakan peratusan kemungkinan Malaysia akan menghadapi kemelesetan teknikal tahun hadapan meningkat sehingga 40 peratus, jika Amerika yang merupakan salah satu rakan dagangan utama Malaysia menghadapi kemelesetan.

"Ia bermakna pertumbuhan negatif untuk dua suku tahunan dan 30 peratus kemungkinan ia akan menjadi kemelesetan sebenarnya yang berpanjangan melebihi dua suku tahunan, bergantung kepada apa yang berlaku di Amerika," katanya.

Ahli Majlis Ekonomi Malaysia, Datuk Mohamed Azman Yahya pula mengingatkan bahawa kemerosotan ekonomi yang semakin hampir mungkin lebih mencabar dari krisis yang dihadapi pada tahun 1998

Dalam krisis kali ini, katanya, Malaysia menghadapi risiko stagflasi di mana pertumbuhan akan bergerak perlahan di dalam persekitaran yang tinggi kosnya.

Ia juga mungkin yang terburuk, katanya, dan apa yang lebih membimbangkan ialah kemerosotan kali ini ialah fenomena global.

Sebelum ini, laporan Political & Economic Risk Consultancy (PERC) yang berpengkalan di Hong Kong meletakkan Malaysia antara negara yang paling berisiko tinggi dalam menghadapi krisis ekonomi dunia yang dijangka akan bertambah buruk.

Tiada ulasan: