Isnin, 17 November 2008

Bekalan elektrik 100 peratus di luar bandar akhir 2010

BERNAMA


KUALA LUMPUR,: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mensasarkan bekalan elektrik 100 peratus di kawasan luar bandar di Semenanjung dan 90 peratus di Sabah dan Sarawak menjelang akhir 2010, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata sebanyak RM642 juta diperuntukkan sepanjang separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi meningkatkan penyediaan kemudahan itu.

“Kerajaan serius dalam menyediakan kemudahan asas seperti elektrik terutama bagi penduduk luar bandar Sabah serta Sarawak di mana hampir 81.5 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan diberikan kepada dua negeri itu,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa untuk kementeriannya bagi Bajet 2009 di sini hari ini.

Beliau berkata statistik daripada Sektor Tenaga Unit Perancang Ekonomi Negara (UPEN) menunjukkan jumlah kawasan diliputi kemudahan elektrik adalah 99.9 peratus untuk Semenanjung, Sabah dengan 79.2 peratus dan 87.2 peratus bagi Sarawak.

Penggulungan Muhammad terhenti beberapa kali apabila beberapa anggota Parlimen dari Sabah membangkitkan isu pegawai khas daripada kementerian itu yang didakwa ’berlagak’ seperti anggota Parlimen.

Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang mendedahkan perkara itu, meminta penjelasan daripada Muhammad mengapa seorang pegawai khas kementerian itu boleh membuat lawatan ke kampung-kampung dan memberi pandangan tanpa meminta kebenaran wakil rakyat di kawasan itu.

Muhammad berkata pegawai khas itu berasal dari Tenom yang terletak di pedalaman Sabah dan berpendapat beliau hanya menyampaikannya kepada kementerian mengenai apa yang dilihat di kampungnya.

Semasa menjelaskan pertanyaan Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis), Muhammad juga menafikan bahawa pelantikan pegawai khas itu mempunyai motif politik untuk mendapat sokongan bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Mac depan.

“Ia tidak mempunyai kaitan politik. Pegawai khas kementerian bukan saja dari Sabah, tetapi Pahang serta Kelantan pun ada dan pemilihan mereka ini adalah untuk membantu kementerian mengenal pasti masalah serta menyediakan jawapan pada sesi Dewan Rakyat seperti ini,” katanya.

Tiada ulasan: