Rabu, 12 November 2008

ADUN Kota Alam Shah kekal tahanan ISA

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kota Alam Shah M. Manoharan gagal buat kali ketiga untuk dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonannya bagi habeas corpus.

Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam keputusan lisannya berkata alasan yang diberikan dalam afidavit Manoharan tidak termasuk dalam lingkungan permohonan bagi writ habeas corpus.

"Undang-undang kita hanya membenarkan mahkamah untuk memastikan sama ada berlaku pelanggaran terhadap prosedur bagi penahanan itu. Selepas meneliti afidavit, saya bersetuju dengan peguam yang bijaksana bahawa alasan berkenaan tidak termasuk dalam lingkungan permohonan habeas corpus," katanya.

Mohamad Zabidin membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan Manoharan yang difailkan pada 8 Ogos tahun ini untuk mencabar kesahihan perintah tahanan bertarikh 13 Disember 2007 yang dikeluarkan mengikut Seksyen 8(1) ISA.

Dalam afidavitnya, Manoharan berkata keengganan Menteri Dalam Negeri memberikan kebenaran kepadanya untuk menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor dijadualkan pada 22, 23 dan 26 Mei 2008 dan bahawa beliau dipaksa mengambil cuti telah mencemarkan proses demokrasi.

Manoharan, yang diwakili peguam Sreedevi Naidu juga mendakwa beliau bukan seorang individu yang memberikan ancaman kepada negara kerana beliau telah dipilih sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Peguam Kanan Persekutuan Abdul Wahab Mohamad mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan habeas corpus itu atas alasan bahawa alasan yang dikemukakan itu tiada kaitan dengan penahanan Manoharan daripada segi undang-undang.

Beliau juga berhujah permohonan itu jelas mencabuli proses mahkamah dan satu pertindihan dalam prosiding.

"Jelas ia mencabuli proses mahkamah untuk segera memfailkan permohonan bagi habeas corpus apabila permohonan sebelum ini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan," kata Abdul wahab.

Manoharan sebelum ini memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan ditolak pada 26 Disember 2007. Rayuannya di Mahkamah Persekutuan juga ditolak pada 14 Mei tahun ini.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, beliau memfailkan satu lagi permohonan bagi habeas corpus di Mahkamah Tinggi Ipoh tetapi sekali lagi ditolak oleh mahkamah pada 8 September tahun ini.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, Hakim Mohamad Zabidin juga menolak permohonan Manoharan untuk hadir dan mewakili dirinya sendiri dalam kes ini.

"Selepas meneliti afidavit, saya mendapati tidak ada alasan yang kukuh untuk membenarkannya hadir dan mewakili dirinya sendiri di mahkamah," katanya.

Turut hadir di mahkamah hari ini ialah anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang dan penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin.

Tiada ulasan: