Jumaat, 7 November 2008

442,936 duduki SPM mulai 11 November

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Seramai 442,936 calon bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 11 November ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, daripada jumlah itu, 10,331 calon sekolah swasta dan 28,507 lagi calon persendirian perseorangan.

''Kita juga mempunyai 388,079 atau 87.6 peratus calon sekolah Kementerian Pelajaran dan calon sekolah kerajaan negeri manakala 16,019 atau 3.6 peratus lagi terdiri daripada calon tajaan badan tertentu,'' kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, 3,939 pusat peperiksaan telah disediakan di seluruh negara untuk calon-calon menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

Katanya, segala maklumat mengenai masa peperiksaan, peringatan kepada calon dan arahan serta amaran yang perlu dipatuhi semasa menduduki peperiksaan telah pun diedarkan melalui jadual waktu peperiksaan.

Beliau menambah, calon perlu membawa bersama kad pengenalan masing-masing pada setiap masa peperiksaan dijalankan.

''Ini adalah untuk memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar,'' ujarnya.

Beliau juga mengingatkan semua calon supaya membuat persediaan awal untuk mengelakkan berlaku keadaan atau kejadian yang tidak diingini sehingga boleh menghalang mereka sampai ke pusat peperiksaan mengikut jadual.

Katanya, sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir atau kebakaran, sebarang pindaan kepada jadual waktu peperiksaan dan perubahan pusat peperiksaan akan berlaku melalui hebahan media massa.

Beliau mengingatkan calon SPM supaya tidak terpedaya dengan penyebaran soalan bocor yang dihebahkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Tiada ulasan: