Isnin, 17 November 2008

15,000 rumah miskin tegar dibina tahun depan

Oleh Zaini Raban


PANTAI REMIS - Kerajaan akan membina 15,000 rumah bagi keluarga miskin tegar di seluruh negara yang secara keseluruhannya bernilai RM525 juta mulai tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, ia merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM7 bilion yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

''Jumlah peruntukan bagi sektor luar bandar termasuk pembinaan rumah keluarga miskin daripada pakej tersebut adalah begitu besar. Jika dicampurkan semua ia melibatkan wang lebih RM2 bilion.

''Projek perumahan ini pula akan menyelesaikan 90 peratus masalah rumah keluarga miskin tegar kerana dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), jumlah rumah yang akan dibina untuk golongan itu ialah sebanyak 20,450 buah," katanya kepada pemberita di Kampung Matang Acheh di sini hari ini.

Muhammad berkata, projek tersebut yang akan dijalankan secara berperingkat-peringkat akan membolehkan keluarga miskin tegar yang telah dikenal pasti itu memiliki rumah sendiri yang mempunyai dua atau tiga bilik.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak kementerian juga akan membina 6,122 taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di kampung.

Jelas beliau, pakej itu akan membolehkan Kemas menyediakan satu tabika atau taska di setiap kampung dan mempercepatkan matlamat membolehkan semua 14,000 kampung mempunyai kemudahan tersebut.

Katanya, buat masa ini, kira-kira 7,000 kampung di seluruh negara sudah mempunyai tabika atau taska dan terbukti berjaya mendidik atau memberi pelajaran awal berkualiti kepada kanak-kanak.

Sementara itu, katanya, dakwaan kononnya guru tabika Kemas terdiri daripada 'golongan tua dan makcik-makcik' adalah tidak benar sama sekali kerana tuduhan itu dibuat oleh 'orang yang tidak tahu apa-apa'.

''Sebanyak 88 peratus (7,562 orang) daripada 8,364 guru tabika Kemas berumur antara 21 hingga 50 tahun dan hanya 942 orang sahaja berumur lebih 50 tahun.

''Kurikulum Kemas juga berkualiti kerana ia digubal oleh sukarelawan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1970. Mulai 2002, kita telah menggunakan sepenuhnya Kurikulum Pra-Sekolah Kebangsaan Kementerian Pelajaran," ujarnya.

Tiada ulasan: