Selasa, 11 November 2008

1/2 juta, punca pesakit tunggu lama untuk rawatan

Anis Nazri


KUALA LUMPUR - Klinik kesihatan yang terpaksa menampung keperluan pesakit melebihi jumlah sebenar mengakibatkan berlaku masalah tempoh menunggu yang lama di kalangan pesakit, khususnya di Klinik Kesihatan Ampang.

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Menteri Kesihatan, Dato' Abd Latiff Ahmad ketika menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (KeADILan-Ampang), di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, Klinik Kesihatan Ampang terpaksa menampung setengah juta pelanggan, sedangkan ia sebenarnya hanya mampu menampung sebanyak 50,000 pelangan.

Keadaan ini berlaku memandangkan hanya terdapat tujuh klinik kesihatan di daerah Hulu Langat, di mana setiap satu klinik hanya boleh menampung sebanyak 50,000 pelanggan.

Latiff berkata, di daerah Hulu Langat terdapat tiga parlimen iaitu Hulu Langat, Ampang dan Pandan yang mempunyai penduduk 1.1 juta.

"Kita hanya ada tujuh klinik kesihatan. Mengikut standard, satu klinik kesihatan boleh menampung 50,000 penduduk, sedangkan di Parlimen Ampang hanya ada satu saja iaitu di Mukim Ampang. Ini yang menampung setengah juta pelanggan kita," kata beliau.

Keadaan ini, katanya berikutan pertambahan pesakit di klinik tersebut sebanyak 75 peratus sehingga terpaksa berhadapan dengan waktu menunggu yang lama untuk mendapatkan rawatan.

Sehubungan itu, Latiff berkata pihaknya akan memanjangkan waktu rawatan dari 7 hingga 9.30 malam, berbanding 8 hingga 5 petang sebelum ini bagi mengatasi kesulitan tersebut.

Selain itu, kata beliau kementerian juga bercadang menambahkan pergerakan sumber manusia seperti penambahan pegawai perubatan dan pegawai sokongan bagi melancarkan lagi perkhidmatan berkenaan dan mengatasi masalah berkenaan. - mks. _

Tiada ulasan: