Rabu, 15 Oktober 2008

"Tidur disiang hari" Anwar

Agensi


Kuala Lumpur : Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menggunakan peluang berucap dalam sesi pembahasan selaku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat dengan meminta kerajaan membentangkan Belanjawan 2009 baru.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, berkata pemimpin kerajaan kini 'tidur di siang hari' sedang sistem kewangan sejagat mengalami keruntuhan.

Menurut beliau, bajet yang dibentang sebelum ini tidak mengikut keadaan semasa.

Datuk Seri Anwar berkata kerajaan Malaysia masih mendakwa bahawa ekonomi negara itu masih kukuh, sedangkan Singapura, yang mempunyai ekonomi lebih rancak, kini mengalami kemelesetan teknikal.

Beliau menarik perhatian bahawa kerajaan akan berdepan dengan kesukaran meraih dana untuk menampung belanjawan yang dibentangkan sebelum ini.

'Mereka bukan saja bermimpi, malah tidur di siang hari,' kata Datuk Seri Anwar.

'Jika Menteri Kewangan yang baru (Datuk Seri Najib Tun Razak) benar-benar bertanggungjawab, beliau mesti membentangkan bajet baru,' jelas beliau.

Datuk Seri Anwar menambah bahawa pembangkang mampu membentangkan belanjawan yang lebih baik dengan menarik pelaburan asing.

Pada 18 September lalu, beliau mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan sidang Parlimen tergempar bagi mengusulkan undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Malaysia itu.

Semalam, Datuk Seri Anwar, bagaimanapun, berkata pembangkang akan 'menghentikan' sementara usul undi tidak percaya itu bagi memberi tumpuan kepada perbahasan Belanjawan 2009.

Sementara itu, Datuk Seri Abdullah menganggap tarikh 8 Disember yang ditetapkan oleh Datuk Seri Anwar untuk membentuk kerajaan baru sebagai 'karut' dan 'membuang masa'.

Menurut beliau, tidak ada sebarang sebab untuk anggota Barisan Nasional (BN) meninggalkan gabungan itu dan menyertai Pakatan Rakyat.

'Barisan Nasional ialah pemenang dalam pilihan raya umum lepas dan kami ada kerja yang perlu dibuat.

'Mungkin ada perbezaan pendapat di antara kami dan sesetengahnya bukan mudah diselesaikan tetapi hakikatnya ialah kami telah diberi amanah oleh rakyat,' kata Datuk Seri Abdullah.

Tiada ulasan: