Isnin, 20 Oktober 2008

Sultan Kelantan saran baiki kelemahan

MY METRO


KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra menyeru kerajaan negeri agar memperbaiki segera kelemahan pentadbiran dan pengurusan dalam sektor penting seperti pelancongan, pendidikan dan pertanian yang perkembangan di negeri itu dilihat terjejas.

Baginda juga mahu kelembapan perjalanan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Kelantan dipergiatkan kerana terdapat projek yang masih belum bermula.

Agensi yang terlibat perlu memantau pelaksanaan projek yang dirancang supaya berjalan mengikut jadual, antaranya pembinaan kampus utama Universiti Malaysia Kelantan di Bachok dan Jeli serta projek Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua, titah baginda.

“Begitu juga dengan projek hub halal yang membabitkan peruntukan RM17 juta dalam RMK-9 yang turut melibatkan negeri Kelantan, masih belum dilaksanakan dan beta harap ia dapat disegerakan,” titah baginda ketika merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri kali ketiga bagi penggal pertama, di sini hari ini.

Turut berangkat ialah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan beliau diwakili oleh Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Tiada ulasan: