Isnin, 13 Oktober 2008

Semporna: Kertas undi lebih...

MALAYSIAKINI


Dakwaan berlakunya kelebihan kertas undi berbanding perwakilan dalam pemilihan Ketua Pemuda Umno Bahagian Semporna semalam akan dirujuk kepada badan perhubungan Umno Sabah untuk diputuskan.

Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata persidangan perwakilan Pemuda bahagian itu yang bermula kira-kira jam 2 petang semalam berakhir kira-kira jam 7.30 pagi ini berikutan masalah teknikal itu.

Shafie berkata sehubungan itu beliau menyerahkan kepada badan perhubungan Umno negeri untuk membuat keputusan sama ada untuk mengarahkan mesyuarat diadakan semula atau sebaliknya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Semporna di Dewan Masyarakat Semporna hari ini, Shafie berkata setakat ini belum ada keputusan muktamad tentang jawatan ketua Pemuda bahagian berkenaan, demikian menurut laporan Bernama.

Dalam pemilihan ketua Pemuda Umno Bahagian Semporna semalam, penyandang jawatan itu Dixon Abd Habi berjaya mempertahankan jawatan berkenaan, namun mendapat bantahan perwakilan yang mendakwa berlaku kelebihan kertas undi berbanding jumlah perwakilan.

Naib Ketua Umno bahagian berkenaan disandang oleh Abd Aziz Ibno.

Bagaimanapun, barisan kepimpinan Pemuda Umno bahagian itu yang dipilih semalam sebulat suara mencalonkan Khairy Jamaluddin untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti Mac depan.

Tiada ulasan: