Rabu, 8 Oktober 2008

Roboh kuil: Anwar minta MP Kapar batal hasrat letak jawatan
MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerusi Kapar, S. Manikavasagam berkata, beliau telah diminta Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membatalkan pendiriannya yang mahu letak jawatan Timbalan Pengerusi PKR Selangor ekoran isu kuil di Ampang dirobohkan.

"Saya ada menemui Datuk Seri (Anwar) pagi ini di mahkamah (Sesyen, Jalan Duta) dan saya menjelaskan pendirian dan perkembangan yang berlaku.

"Beliau mengambil maklum dan meminta saya berbincang dengan Menteri Besar dan menarik balik keputusan untuk meletakkan jawatan," kata beliau ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Anwar merupakan Penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Minggu lalu Manikavasagam mengumumkan bahawa beliau telah membuat pendirian untuk tidak lagi memegang jawatan tersebut jika pucuk kepimpinan negeri gagal menangani isu berkenaan.

Meskipun belum menyerahkan surat letak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Manikavasagam menjelaskan, beliau berpendirian tetap untuk melepaskan kedudukan tersebut jika isu merobohkan rumah ibadat, antaranya kuil tidak ditangani dengan betul dan menyeluruh.

"Hari ini saya dimaklumkan oleh Ronnie Liu (Ahli Majlis Kerajaan Negeri) bahawa laporan lengkap isu kuil dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya akan diterima dalam tempoh seminggu.

"Kita hendak melihat kandungan laporan dan tindakan yang akan diambil agar masalah yang sama tidak berulang," katanya sambil menambah, beliau sudah menerima salinan notis untuk merobohkan sekurang-kurangnya enam kuil di kawasan Ampang.

Tegas Manikavasagam, beliau tidak boleh menarik keputusan semasa dan kemudian mengumumkan lagi akan meletakkan jawatan apabila timbulnya isu yang sama kemudian hari.

"Jadi, pendirian saya tidak berubah dan tunggu keputusan yang akan diambil kerajaan negeri untuk menentukan tindakan susulan," katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa akan menemui Menteri Besar Selangor dalam waktu terdekat bagi membincangkan pendiriannya dan hal-hal lain yang berkaitan.

Manikavasagam menjelaskan, beliau tidak akan melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Kapar dan anggota Majlis Tertinggi PKR pusat.

Tiada ulasan: