Jumaat, 17 Oktober 2008

Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dibincang

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Kabinet akan membincangkan memorandum rang undang-undang berkaitan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, esok, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau berkata, selepas diluluskan Kabinet, rang undang-undang tersebut akan dibawa untuk bacaan pertama pada persidangan Dewan Rakyat dan bacaan kedua dijangka diadakan sebaik habis perbahasan belanjawan pada 11 Disember ini.

''Saya telah berunding dengan pihak Parlimen untuk memberi keutamaan kepada rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan saya harap kita dapat bentang, bahas dan diluluskan dalam sesi ini juga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Gerak Mesra Aidilfitri Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Nazri berkata, suruhanjaya tersebut dijangka dapat ditubuhkan pada awal tahun depan.

''Apabila dibentang, dilulus oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kemudian ia akan diwarta dan selepas itu, ia (suruhanjaya) akan terbentuk,'' katanya.

Mengenai suruhanjaya pelantikan hakim, Mohamed Nazri menjelaskan, memorandum rang undang-undang tersebut sedang disediakan dan akan dibawa ke Kabinet tidak lama lagi.

''Jika boleh dibawa ke Kabinet dalam seminggu dua ini, saya percaya kita boleh bentang rang undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Hakim pada sesi Dewan Rakyat ini juga,'' katanya.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang sama, Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, antara kebaikan Suruhanjaya berkenaan adalah ia memberi peluang kepada badan itu mengambil pegawai dan kakitangan berpengalaman secara terus.

''Sekarang ini, kita mengambil pegawai menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan apa yang mereka hantar, kita terima dan kita kena latih.

Berpengalaman

''Tetapi, dengan Suruhanjaya, kita boleh melantik orang-orang yang sesuai, berpengalaman dalam bidang tertentu sama ada secara kontrak atau sebagainya, dan ini akan menambah baik perkhidmatan kita,'' katanya.

Mengulas mengenai isu pembelian helikopter Eurocopter bagi menggantikan helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa berlaku penyelewengan, beliau berkata, BPR akan melihat apa sahaja kes yang ada berlaku pelanggaran jenayah rasuah.

''Lain-lain kes pun, kita akan siasat," katanya.

Mengenai dakwaan wujud penyelewengan dalam kejohanan kapal layar Piala Monsun di Terengganu, Ahmad Said menegaskan, pihaknya telah menyemak beberapa kali kes itu dan didapati tidak wujud perlanggaran jenayah rasuah.

''Tidak ada apa-apa perlanggaran jenayah rasuah yang berlaku. Kita perlu jelaskan perkara ini. Jika tidak, ia akan memberikan imej tidak baik, bukan sahaja kepada Terengganu, tetapi Malaysia selaku penganjur acara bertaraf dunia," katanya.

Tiada ulasan: