Khamis, 16 Oktober 2008

Pulau Pinang akan sedia Wi-Fi percuma untuk rakyat

Mohd Sabri Said


PULAU PINANG - Pulau Pinang bakal menjadi negeri pertama membekalkan Wi-Fi percuma kepada keseluruhan rakyat untuk menyenangkan perhubungan sama ada dalam bidang pendidikan, perniagaan, sukan, sosial dan sebagainya kata, Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

Menurut beliau, dalam masa dua tahun akan datang Wi-Fi dapat diaktifkan secara menyeluruh dan ini akan memberi impak kepada kesuburan ekonomi dan pendidikan rakyat di negeri ini.

Beliau percaya Wi-Fi percuma itu dapat menyelesaikan masalah perhubungan tanpa wayar yang menjadi agenda terpenting pada masa depan ekoran peningkatan teknologi yang serba canggih.

"Kerajaan Pulau Pinang akan bekalkan Wi-Fi secara percuma pada rakyat semata-mata untuk membantu meningkatkan perkembangan ekonomi dan pendidikan. Inilah kelainan yang diberikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat berbanding Barisan Nasional (BN), " katanya ketika berucap sempena rumah terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman baru-baru ini.

Menurutnya, apabila kerajaan menyediakan segala kemudahan tersebut maka tanggungjawab ibubapa pula ialah memantau gerak geri anak-anak agar tidak menyalah gunakan perkhidmatan itu.

Katanya lagi, sepatutnya Malaysia telah lama menyediakan perkhidmatan secara percuma kepada rakyat memandangkan negara telah mencapai tahap kemajuan yang membolehkan rakyat dihadiahkan kemudahan berteknologi tinggi bukan memberi peluang syarikat swasta mengaut keuntungan dengan membekalkan peralatan tanpa wayar dengan kos yang tinggi.

Menyentuh mengenai perkembangan politik beliau menyarankan rakyat membaca blog-blog yang sihat atau melayari akhbar internet seperti Harakahdaily, Suara Keadilan atau Roket kepunyaan DAP.

Melalui ruang ini katanya, rakyat dapat berfikir dengan baik tidak hanya termakan dakyah satu pihak sahaja.

"Layarilah akhbar politik yang baik seperti Harakahdaily, Suara Keadilan atau Roket ia tentu memberi info sihat untuk bertindak dengan matang bukan mencerca pembangkang tidak tentu fasal, " tegasnya. - mks._

Tiada ulasan: