Isnin, 6 Oktober 2008

Projek CAR : Selangor Hanya Bertindak Sebagai Fasilitator, Tidak Halang Projek
NOOR ALLIA KASSIM


SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor tidak pernah menghalang Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada meneruskan projek CAR dan menyokong keperluan projek itu dalam membekalkan elektrik yang konsisten di Lembah Klang.

Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri selama ini hanya bertindak sebagai fasilitator dalam mengelakkan kesan-kesan buruk terhadap penduduk Kampung Sungai Terentang.

Abdul Khalid dalam satu kenyataan media hari ini menyatakan rasa kesal dengan kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato' Shaziman Abu Mansor dalam akhbar New Straits Times, semalam.

"Kerajaan negeri ingin mengingatkan bahawa penglibatannya dalam projek CAR adalah atas desakan bukan sahaja daripada penduduk Sungai Terentang tetapi juga daripada pihak TNB sendiri.

"Jika TNB merasakan projek ini boleh diteruskan dengan rancangan awal iaitu melalui Kampung Sungai Terentang maka kerajaan negeri tidak perlu terlibat dalam hal ini," katanya.

Kenyataan itu turut menyebut yang cara paling praktikal untuk meneruskan projek ini ialah dengan mengambil kira kebajikan penduduk yang telah menetap di kawasan tersebut lebih daripada 50 tahun.

Atas dasar itu, beberapa pertemuan bersama penduduk, TNB dan konsultan bebas telah dibuat dengan mengesyorkan projek itu diteruskan melalui dua cara iaitu menanam kabel bawah tanah yang langsung tidak melibatkan pengambilalihan tanah dan menggunakan laluan alternatif yang tidak melibatkan ramai penduduk.

Abdul Khalid menambah jika pihak TNB merasakan cadangan kerajaan negeri tidak sesuai dan projek CAR ini adalah sesuai melalui kawasan Sungai Terentang, kerajaan negeri tiada hak untuk menghalang mereka.

"Namun dalam hal ini kerajaan negeri akan menarik diri dari sebarang penglibatan dalam projek ini dan tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kesan sampingan. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri akan terus membantu dan menjaga kebajikan penduduk," katanya.

Kerajaan negeri juga turut menyeru penduduk, selain daripada menjalankan protes mereka juga boleh mempertimbangkan untuk membuat aduan kepada pengarah serta pemegang saham TNB jika merasakan hak mereka telah dicabul. Ini kerana sebagai syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia ia perlu menjaga etika dan 'corporate governance'.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri berharap jika ada projek pembangunan pada masa depan, kebajikan rakyat perlu diberi keutamaan.

Tiada ulasan: