Selasa, 7 Oktober 2008

Pindah kes Anwar: Tiada keputusan hari ini, mahkamah sidang lagi esok
Oleh ARIFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI]

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang bersidang sejak pagi ini bagi mempertimbangkan permohonan memindahkan kes liwat Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi akan mendengar hujah pihak pendakwa esok.

Hakim S. M. Komathy Suppiah menangguhkan sidang mahkamah sehingga pukul 11 pagi esok.

Keputusan itu diputuskan pukuk 4 petang tadi.

Malah, pagi esok ketua pasukan peguam Anwar, Sulaiman Abdullah akan menyambung penghujahan beliau.

Ketika sesi pagi tadi, mahkamah menolak bantahan awal pihak pendakwaan.

Pihak Pendakwa mengemukakan bantahan awal bahawa Mahkamah Sesyen tidak mempunyai kuasa untuk mendengar bantahan awal pihak pembelaan dalam soal permohonan memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun Hakim S. M. Komathy Suppiah berkata, beliau ada kuasa untuk mendengar bantahan awal dibangkitkan pihak pembela.

Kata beliau, Mahkamah Sesyen mempunyai budi bicara untuk memerintahkan pemindahan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Hakim itu juga berkata bahawa Mahkamah Sesyen mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahihan sijil yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Komathy membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan membantah pemindahan itu, mempersoalkan kesahihan sijil yang ditandatangani oleh Abdul Gani yang sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Pihak pendakwaan berhujah bahawa Abdul Gani, selaku Peguam Negara, bertanggungjawab menandatangani sijil itu mengikut prosedur pentadbiran.

Anwar membuat laporan polis terhadap Abdul Gani atas dakwaan memalsukan keterangan dalam insiden "mata hitam" Anwar pada 1998.

Menurut pasukan pendakwaan, mahkamah perlu mengarahkan pihak pembelaan untuk membuat permohonan bertulis bagi membuat bantahan awal memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah berehat kira-kira pukul 12 tengah hari di mana hakim menemui Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Sulaiman di kamarnya.

Mahkamah bersidang semula 12.30 tengah hari.

Mahkamah Sesyen bersidang sejak pukul 10.05 pagi tadi bagi memutuskan sama ada perbicaraan kes liwat Anwar perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu Anwar tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.40 bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan peguam Sankara N. Nair.

Pada 24 September lalu, Hakim Komathy telah menangguhkan sidang sehingga hari ini untuk memutuskan keputusannya selepas menimbangkan hujah bantahan pihak pembelaan atas permohonan pendakwaan bagi memindahkan perbicaraan kes Anwar ke Mahkamah Tinggi, di bawah peruntukan Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah.

Pihak pendakwaan yang diketuai Datuk Mohd. Yusof telah mengemukakan bantahan awal terhadap bantahan peguam bela.

Anwar, 61, mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat Mohd Saiful pada 26 Jun 2008 antara jam 3.01 dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Sementara itu, Sankara ketika dihubungi semalam berkata, apa jua keputusan yang ditentukan oleh phak mahkamah akan diterima secara terbuka.

"Semuanya bergantung kepada keputusan mahkamah esok (hari ini)," katanya.

Jelasnya, apa yang diharapakan adalah kes tersebut tidak dibawa ke Mahkamah Tinggi.

"Kami berharap kes ini dapat diselesaikan segera dan tidak perlu dibawa ke Mahkamah Tinggi," katanya.

Menurut Sankara, jika hakim menerima bantahan awal yang dikemukakan pihak pendakwa maka kes tersebut akan dibicarakan di Mahkamagh Tinggi.

Barisan peguam bela Anwar pula diketuai oleh Sulaiman Abdullah bersama R. Sivarasa, Sankara, Leela Jesuthasan, Edmund Bon, Saiful Idham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya serta Mohd. Radzlan Jalaludin.

Tiada ulasan: