Ahad, 12 Oktober 2008

Penstrukturan Semula Air Berada di Peringkat Akhir

NOOR ALLIA KASSIM


SHAH ALAM – Kerajaan negeri dalam peringkat akhir melaksanakan penstrukturan semula industri air di negeri ini, kata Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan penstrukturan semula oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) itu melibatkan pengambil alihan aset tertentu dalam empat syarikat berkaitan iaitu Konsortium ABASS Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluaran Air Selangor Holding Berhad (SPLASH) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

Dalam pada itu, kerajaan negeri telah melantik sembilan ahli panel dalam memastikan urusan penstrukturan semula itu dilaksanakan dengan adil dan saksama.

Panel yang akan diketuai Dato' Menteri Besar itu akan meneliti beberapa isu yang melibatkan penyusanan semula termasuk mengkaji penilaian aset yang perlu diambil alih.

“Kerajaan negeri percaya pembaharuan dalam penyusunan semula pengurusan air ini adalah keputusan yang tepat untuk meningkatkan kecekapan dalam sistem pengurusan air secara keseluruhannya yang akan memberi faedah dan kebaikan kepada rakyat,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco petang ini.

Beliau turut mengumumkan sembilan ahli panel yang dilantik itu iaitu akauntan bertauliah dan pengerusi Proton Berhad, Datuk Azlan Hashim, Profesor Madya dari Nottingham University kampus Malaysia, Dr Subramaniam Pillay, aktivis air yang juga Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, peguambela dan peguamcara, Fahda Nur Ahmad Kamar, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS, pakar toksik dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Selayang, Willian Leong dan aktivis politik yang juga ahli sosial saintis, Datin Paduka Tan Yee Kew.

Beliau berkata panel berkenaan akan mengemukakan cadangan dan alternatif dalam penstrukturan semula itu.

"Cadangan yang akan dibuat panel itu bukan bermakna ia mengatakan yang penstrukturan itu boleh atau tidak boleh dibuat tetapi ia akan memberikan idea-idea agar penyusunan semula ini memberi faedah kepada semua pihak," katanya.

Tiada ulasan: