Isnin, 6 Oktober 2008

Pengemis ada RM9,786 dalam tangan
Oleh Ainol Amriz Ismail


SEREMBAN – Percaya atau tidak, seorang pengemis wanita yang ditahan dalam satu operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan di sini baru-baru ini memiliki wang tunai di tangan sebanyak RM9,786.

Lebih memeranjatkan selepas diperiksa, akaun bank wanita berusia 64 tahun itu mempunyai simpanan RM15,000 hasil daripada kegiatan mengemis di bandar ini.

Pengarah JKM negeri, Mizan Maulud berkata, lebih 100 pengemis tempatan dan luar negara kini menjadikan Seremban sebagai lubuk rezeki.

‘‘Pengemis sengaja berperwatakan susah, kusut masai dan terencat akal ketika meminta sedekah. Ia topeng semata-mata untuk menarik simpati orang ramai sedangkan mereka tinggal di hotel,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, dalam operasi yang sama, anggotanya turut menahan seorang pengemis lelaki berusia 54 tahun dan terdapat wang tunai RM1,100 di tangannya.

Jabatan itu turut menahan empat pengemis Myanmar dan ketika ditahan ada di antara mereka sudah memperoleh pendapatan harian RM423.

‘‘JKM turut menahan beberapa pengemis dari China yang mampu memperoleh pendapatan RM300 sehari dan duduk di hotel,’’ katanya.

Menurutnya, pengemis dari Myanmar memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan datang ke negara ini menggunakan jalan darat.

Beliau berkata, pihaknya turut membongkar kegiatan sindiket menggunakan rakyat Thailand untuk mengemis di kawasan Nilai.

‘‘Pengemis Thailand lebih cerdik kerana menggunakan telefon bimbit dan berhubung dengan tekong untuk menyampaikan maklumat dan lokasi yang dianggap lumayan.

‘‘Ada yang datang memakai baju koyak, berselipar, menggunakan troli, menipu, merayu dan paling mendukacitakan mereka menggunakan kecacatan kaki, tangan sebagai tarikan simpati untuk mengemis,” kata beliau.

Tiada ulasan: