Selasa, 7 Oktober 2008

Pencalonan bahagian Umno diketahui mulai Jumaat
BERNAMA


KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini mungkin mengetahui calon pilihan ahli akar umbi Umno untuk jawatan utama parti itu terutama calon presiden, timbalan presiden dan naib presiden, seawalnya mulai Jumaat ini.

Semakan mendapati setakat ini bahagian Umno memilih Jumaat sebagai tarikh permulaan mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing, walaupun mereka dibenar mengadakanya mulai Khamis.

Machang dan Kimanis adalah antara dua bahagian Umno terawal yang akan mengadakan mesyuarat masing-masing pada Jumaat ini, diikuti dengan bahagian Tumpat dan Besut pada Sabtu.

Banyak bahagian memilih Ahad untuk mesyuarat masing-masing termasuk Pagoh, yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dikatakan akan menawar diri bertanding sebagai timbalan presiden berikutan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku presiden parti kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku timbalan presiden parti.

Bahagian lain yang akan bermesyuarat Ahad ialah Cheras, Tasek Gelugor, Bukit Gelugor, Parit Buntar, Bagan Serai, Taiping, Beruas, Kampar, Semporna, Silam, Kalabakan, Kota Kinabalu, Pontian, Mersing, Pasir Gudang, Batu Pahat, Kota Melaka, Kuantan dan Rompin.

Bahagian Kepala Batas, yang diketuai Abdullah akan mengadakan mesyuaratnya pada 9 November, manakala Umno Bahagian Pekan yang diketuai Najib, pada 2 November.

Bahagian Gua Musang, yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah, yang menawarkan diri bertanding bagi jawatan presiden parti, akan mengadakan mesyuaratnya pada 1 November.

Bahagian lain yang sudah menetapkan mesyuarat masing-masing ialah:

18 Okt: Gelang Patah, Tebrau, Kemaman, Kuala Terengganu dan Raub.

19 Okt: Nibong Tebal, Bagan, Titiwangsa, Segambut, Bandar Tun Razak, Kepong, Kulai, Ledang, Bakri, Tanjung Piai, Bukit Katil, Masjid Tanah, Alor Gajah dan Paya Besar.

25 Okt: Tanjung, Setiawangsa, Seputeh, Labis, Simpang Renggam, Tangga Batu, Jasin, Dungun, Marang, Hulu Terengganu dan Setiu.

26 Okt: Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Jelutong, Kluang, Johor Baharu, Pulai, Sri Gading, Parit Sulong, Sembrong dan Indera Mahkota.

1 Nov: Kuala Krau dan Jerantut.

2 Nov: Batu Kawan, Bayan Baru, Balik Pulau, Sekijang, Segamat, Ayer Hitam, Muar dan Cameron Highlands.

8 Nov: Wangsa Maju, Lembah Pantai dan Maran.

9 Nov: Bukit Bendera, Pengerang, Tenggara, Kota Tinggi dan Temerloh.

Sejumlah 191 bahagian Umno perlu mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing mulai 9 Okt hingga 9 Nov, kali ini untuk memilih pagawai peringkat jawatankuasa bahagian, selain mencalonkan nama pemimpin bagi jawatan peringkat Majlis Tertinggi (MT).

Bahagia itu juga memilih tujuh perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno, sebagai tambahan kepada enam perwakilan secara automatik iaitu ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian, ketua wanita bahagian, ketua Pemuda bahagian dan ketua Puteri bahagian.

Setiap satu daripada 191 bahagian menghantar 13 perwakilan ke perhimpunan agung parti dan mereka mewakili sebahagian besar perwakilan yang akan mengundi bagi memilih pemimpin parti peringkat MT.

Perhimpunan Agung Umno yang pada asalnya dijadual Disember ini ditunda kepada Mac tahun depan, berikutan proses peralihan kuasa dalam parti.

Tiada ulasan: