Selasa, 14 Oktober 2008

PAS Melaka kesal Shah Rukh Khan diberi anugerah

Zaili Muhammad


MELAKA - PAS Melaka kesal dengan penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada pelakon Bollywood Shah Rukh Khan oleh kerajaan Melaka, baru-baru ini.

Sebelum ini, penganugerahan 'Dato' oleh Kerajaan Negeri Melaka menjadi kecoh gara-gara terlalu ramai individu yang menerima gelaran itu dan dipertikaikan oleh orang-ramai kerana individu tersebut tidak memenuhi kelayakan yang sewajarnya.

Menurut Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab, apakah kriteria yang diambilkira oleh kerajaan negeri sehingga pelakon yang jelas mengamalkan maksiat dan budaya keseronokan semata-mata ini diberikan anugerah yang sebegitu besar.

Beliau turut kesal kerana seolah-olah tiada lagi orang lain yang layak dan berjasa kepada rakyat negara dan negeri ini.

"Saya yakin ramai di kalangan bekas-bekas perajurit,guru, pegawai- pegawai tinggi dan aktivis masyarakat yang banyak berjasa kepada negara dan negeri yang tidak diberikan penghargaan oleh kerajaan.

"Dalam bidang sukan Melaka umpamanya mempunyai bekas pemain kebangsaan dan jurulatih berpengalaman G.Torairaju, Ramli Junit, Mirnawan Nawawi dan lain-lain telah menyumbang banyak jasa kepada negara.

"Dalam bidang agama negeri Melaka juga mempunyai beberapa ulama yang terkenal dan diakui keilmuan mereka antaranya bekas Pensyarah Universiti Malaya dan Bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama' Malaysia, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin; Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Ustaz Zahazan Mohamad dan lain-lain," katanya.

Malahan beliau turut menempelak Kerajaan Negeri Melaka kerana dengan sewenangnya memberi gelaran Dato' dan apalah agaknya sumbangan Shah Rukh Khan kepada rakyat negeri Melaka?

"Saya sangat kesal kerana kerajaan negeri Melaka mengagungkan orang seperti Shah Rukh Khan yang jelas melakukan maksiat dan memberikan contoh tauladan yang tidak baik kepada rakyat negeri ini. 'Dato' Melaka sudah tidak ada nilai.

"Kita faham dan tidak membantah kiranya kerajaan negeri mahu menghargai sumbangan mereka yang terlibat dalam dunia seni yang terdiri dari arti-artis atau penggiat seni tanahair. Ini sudah menjadi amalan kita sejak dari dahulu lagi di mana ada artis yang dianugerahkan dengan gelaran Tan Sri contohnya Allahyarham P. Ramlee dan SM Salim.

"Tetapi rakyat berasa pelik dengan penganugerahan 'Dato' kepada artis Bollywood yang jelas tidak mempunyai sumbangan kepada negara dan hanya memperkenalkan filem yang banyak unsur-unsur negatif," tambah beliau.

Beliau turut menyifatkan keputusan itu kini menjadi bahan senda gurau dan gelak-ketawa rakyat dan pimpinan negeri-negeri lain. - mks._

Tiada ulasan: