Khamis, 9 Oktober 2008

Parlimen Marang kekal milik Presiden PAS
Khairul Azlam Mohamad


KUALA TERENGGANU - 'PAS Menang Lagi' begitulah ungkapan yang dapat dinyatakan apabila keputusan Hakim Mahkamah Pilihan Raya Terengganu, Dato' Kang Hwee Gee membuat keputusan menolak petisyen tersebut.

Justeru itu, Parlimen Marang masih kekal milik Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang apabila Mahkamah Pilihan Raya memutuskan untuk menolak dengan kos petisyen yang difailkan calon Barisan Nasional (BN), Dato' Dr Ahmad Ramzi Zubir pada 28 April lalu.

Setelah meneliti kesemua hujah yang dikemukakan oleh pihak pempetisyen dan responden, hakim berkenaan ketika membacakan keputusan penghakiman bahawa pempetisyen gagal mengemukakan bukti berhubung salah laku penyokong PAS di parlimen tersebut pada pilihan raya umum, 8 Mac lalu.

Pasukan peguam responden diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Wan Abdul Mutalib Embong dan Pempetisyen diwakili lima peguam yang diketuai oleh Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Dato' Wan Abdul Mutalib berkata keputusan bantahan awal yang dikemukakan oleh PAS terhadap petisyen yang dibuat oleh Umno diterima pihak mahkamah.

"Keputusan di atas bantahan awal kita (PAS) di atas ketidaksempurnaan petisyen yang dibuat oleh Umno-Barisan Nasional dalam dua kes di Parlimen Marang dan Rhu Rendang diterima mahkamah.

"Oleh kerana, Rhu Rendang itu berada dalam kawasan Parlimen Marang maka kes itu disekalikan pendengarannya," jelas Dato' Wan Abdul Mutalib.

Katanya, fakta yang dikemukakan dalam petisyen hampir sama, tinggal lagi parlimen itu mencakupi dua lagi insiden di luar daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Rhu Rendang.

Menurutnya, insiden tersebut berlaku di Sekolah Bukit Sawa kemudian di depan markas PAS Seberang Marang dan di depan Sekolah Menengah Marang termasuk peristiwa penahanam bas di lokasi dekat Masjid Marang.

Katanya, mahkamah mendapati bahawa pihak pempetisyen gagal membuktikan kejadian yang berlaku itu dilakukan oleh calon atau agen calon.

Dato' Wan Abdul Mutalib berkata hujah pempetisyen berhubung anak lelaki Presiden PAS iaitu Mohd Khalil sebagai responden pertama dan penyokongnya yang memakai jaket PAS ketika kejadian tersebut tidak memadai bahawa perbuatan tersebut dilakukan dalam pengetahuan atau agennya.

"Pempetisyen juga gagal menyediakan fakta bahawa individu berkenaan adalah agen kepada responden pertama," ujarnya.

Bahkan, katanya mahkamah mendapati PAS berjaya mengemukakan bukti mencukupi untuk menolak petisyen yang difailkan calon Umno-BN itu. - mks. _

Tiada ulasan: