Khamis, 30 Oktober 2008

Paket rokok wajib tertera imej risiko merokok

MSTAR ONLINE


PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Liow hari ini mewajibkan setiap syarikat pengeluar rokok memaparkan imej gambar amaran risiko merokok pada setiap paket rokok yang dikeluarkan bermula Januari tahun depan.

Selain amaran itu, kementerian juga telah memulakan satu siri berhubung langkah-langkah mensasarkan perokok termasul menyediakan minimum harga RM6 untuk sepaket rokok pada hujung tahun ini, memperbanyakkan premis-premis larangan merokok dan mengharamkan pengeluar menggunakan perkataan-perkataan seperti "low tar", "light", "ultra-light" dan "mild" pada paket jenama mereka berkuat kuasa serta merta.

Liow berkata, sebanyak 21 syarikat pengeluar dan pengimport rokok telah bersetuju dengan keputusan terbaru ini.

“Menjelang 1 Januari tahun depan, setiap jenama rokok mesti mempunyai sekurang-kurangnya dua daripada produk mereka yang mempamerkan amaran-amaran ini.

"Bagaimanapun, mungkin masih ada stok lama dalam negara ini menggunakan paket lama," katanya kepada media di pejabatnya, di sini.

Liow berkata, menjelang Jun tahun hadapan setiap paket rokok wajib mempunyai dua logo yang ditetapkan itu.

"Selain daripada amaran berkenaan setiap paket juga perlu mematuhi arahan dengan tidak menjual rokok kepada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah dan amaran mengenai rokok mengandungi 4,000 bahan kimia," katanya.

Beliau berkata, terdapat enam set imej gambar amaran yang menasihatkan orang ramai supaya tidak merokok termasuk imej penyakit barah mulut, barah kerongkong dan kecacatan rongga hidung. Turut disertakan adalah nombor talian infoline kepada perokok yang mahu berhenti merokok.

Liow berkata, imej gambar yang ditetapkan bagi setiap paket rokok mesti meliputi 40 peratus bagi muka hadapan dan 60 peratus bagi belakang setiap paket rokok.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan mendapati 21.5 peratus populasi orang dewasa atau tiga juta orang dewasa menghisap rokok, manakala 15 peratus menunjukkan golongan remaja telah mencuba untuk merokok dan 8 peratus lagi mengakui akan menjadi perokok tetap.

Lior berkata, dengan keputusan terbaru ini yang diambil kementeriannya itu, Malaysia akan menyertai 15 buah negara lagi yang telah mematuhi World Health Organisation Framework Convention mengenai Kawalan tembakau.

“Di Kanada, amaran-amaran ini telah menyebabkan separuh daripada perokok di negara itu ingin berhenti merokok dan di Thailand, 80 peratus perokok berpendapat gambar-gambar ini memberi kesan kepada mereka.

"Sejak 10 tahun yang lalu, kita telah berjaya mengurangkan jumlah perokok di Malaysia sebanyak 2% melalui pelbagai kempen-kempen yang telah dilaksanakan.

“Dengan jumlah yang sedikit seperti itu, sememangnya pihak kementerian tidak berpuas hati,” katanya.

Liow berkata, semua kem Latihan Khidmat Negara akan dijadikan sebagai kawasan larangan merokok dengan segera manakala perokok tidak akan dibenarkan lagi di kawasan sekitar koridor dan kompleks membeli-belah.

Ditanya mengenai harga minimum yang ditetapkan bagi paket 20 batang rokok, Liow berkata, harga yang ditetapkan akan disesuaikan setiap kali kerajaan mengumumkan cukai dan caj tambahan dalam bajet.

“Pejabat Peguam Negara ketika ini sedang dalam proses untuk mewartakan harga minumum bagi sekotak rokok,” katanya sambil menambah sesiapa yang gagal untuk mematuhi keputusan terbaru boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, pada tahun ini sahaja, Kementerian Kesihatan telah mengkompaun 2,622 orang perokok dengan jumlah denda yang diperoleh sebanyak RM564,000 dan seramai 1,946 perokok telah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan.

Tiada ulasan: