Sabtu, 4 Oktober 2008

Musa: Pemilihan ditangguh tanda Pak Lah mungkin tidak pertahan jawatan
MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno minggu lalu menangguhkan perhimpunan agung tahunan dan pemilihan sehingga Mac depan dilihat sebagai petanda Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan mempertahankan jawatan kali ini.

"Jika saya tidak silap, ini menunjukkan bahawa Presiden (Umno) tiada hasrat untuk mempertahankan jawatan beliau," kata bekas Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam di Johor Bharu.

Musa diminta mengulas tentang keputusan MT Umno, yang mengadakan mesyuarat khas Jumaat lalu, menangguhkan perhimpunan agung dan pemilihan peringkat pusat ke Mac depan.

Malah, Abdullah juga mengumumkan beliau akan memutuskan sama ada mempertahankan jawatan Presiden ataupun sebaliknya sebelum bahagian mengadakan persidangan perwakilan bermula 9 Oktober ini.

"Saya percaya keputusan itu dibuat selepas mereka (MT Umno) mencapai persetujuan pada pertemuan (minggu lalu)," kata beliau merujuk kepada mesyuarat MT Umno 26 September lalu.

Kata beliau, tempoh antara Disember dan Mac depan boleh dilihat sebagai proses perubahan bagi parti bagi memastikan perhimpunan agung tahunan diadakan manakala peralihan kuasa boleh dilaksanakan dengan teratur.

"Saya percaya penangguhan boleh membantu mengatasi ketidakselesaan di kalangan ahli sehingga perhimpunan diadakan Mac nanti," kata beliau sambil menambah, suasana itu wujud ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh Ogos lalu.

Musa juga berkata, peringkat akar umbi telah meminta diadakan peralihan kuasa ekoran pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Tiada ulasan: