Sabtu, 25 Oktober 2008

Mesyuarat Pemuda Umno Gua Musang dibatal

BERNAMA


GUA MUSANG: Mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Gua Musang yang diadakan pada Khamis lepas dibatalkan kerana tidak mematuhi arahan yang diputuskan di peringkat bahagian, kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh berkata pembatalan mesyuarat itu bukan diputuskan oleh beliau tetapi oleh Ibu Pejabat Umno.

"Mesyuarat itu batal kerana tidak mengikut tarikh mesyuarat yang diputuskan oleh bahagian yang sepatutnya diadakan pada hari ini.

"Pembatalan mesyuarat itu bukan saya yang putuskan tetapi Ibu Pejabat Umno yang telah membuat keputusan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh berkata dengan pembatalan itu, semua keputusan yang dibuat pada mesyuarat Khamis lepas turut terbatal.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya akan menunggu laporan daripada Umno Bahagian Gua Musang sebelum membuat keputusan berhubung pertindihan mesyuarat pergerakan Pemuda bahagian itu yang diadakan pada hari ini dan Khamis lepas.

"Kena tunggu laporan bahagian Gua Musang dahulu untuk dinilai dan disiasat. Badan Perhubungan Umno tidak boleh masuk campur urusan mesyuarat bahagian," katanya kepada Bernama di Kota Baharu.

Mesyuarat Pemuda bahagian itu hari ini yang dihadiri 78 perwakilan dari 78 cawangan sebulat suara mencalonkan Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda dan anggota Parlimen Muar, Razali Ibrahim sebagai calon Naib Ketua pergerakan itu.

Mesyuarat perwakilan Pemuda bahagian itu yang diadakan pada Khamis lepas dihadiri 189 perwakilan daripada 79 cawangan dan turut dihadiri wakil Pemuda Umno Negeri.

Tiada ulasan: