Ahad, 5 Oktober 2008

Malaysia tolak lumba malam
AFP


PENGANJUR Grand Prix Malaysia telah menolak kemungkinan mengadakan perlumbaan malam pada tahun depan menyusuli kejayaan Grand Prix SingTel Singapura.

Bagaimanapun, mereka akan melewatkan perlumbaan yang akan bermula 5 petang.

Badan pentadbir sukan perlumbaan Formula Satu ini telah menggesa diadakan lebih banyak perlumbaan malam di Asia untuk memberi kepuasan kepada tuntutan televisyen di Eropah.

Awal tahun ini, Malaysia menyatakan minatnya untuk menganjurkan perlumbaan malam pada 2009.

Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Mokhzani Mahathir, berkata rancangan mengadakan perlumbaan malam dibatalkan buat masa ini tetapi perlumbaan akan dilewatkan dua jam.

'Cuaca masih terang apabila perlumbaan tamat sekitar 7 malam dan bagi para peminat di Eropah dan Britain ia sekitar 10 pagi. Kita tidak akan mengalami kerugian,' beliau memberitahu akhbar Malaysia, The Star, di sini kelmarin.

Beliau memberi sebab kos lampu sebagai sebab utama keputusan itu diambil dengan SIC terpaksa melabur sekurang-kurangnya $5 juta untuk memasangnya.

'Kos lampu memakan belanja yang besar dan keputusan ini merupakan usaha mengurangkan kos penganjuran perlumbaan F1 di Malaysia. Malah Bernie (Ecclestone, bos Formula Satu) telah pun bersetuju,' tegas Mokhzani.

'Ia akan berbeza sedikit. Orang ramai tidak perlu bangun terlalu awal dan mereka dapat berseronok menyaksikan perlumbaan.'

Di bawah kontrak baru yang ditandatangani tahun lalu, di mana dipersetujui bagi persiapan perlumbaan malam, Malaysia akan terus diberi hak penganjur perlumbaan sehingga 2015.

Malaysia mula menganjurkan perlumbaan Grand Prix Formula Satu ini pada 1999.

Jumaat lalu, Ecclestone berkata beliau mahu menjadikan Grand Prix Jepun perlumbaan malam - bagi mencontohi Singapura.

Menjawab pertanyaan, Ecclestone berkata: 'Kami akan mengadakan lebih banyak perlumbaan malam di rantau ini.

'Kami akan cuba meminta Jepun menganjurkannya (perlumbaan malam). Saya berharap apabila orang melihat kejayaan Singapura, ia bukanlah satu idea yang bodoh.'

Tiada ulasan: