Sabtu, 11 Oktober 2008

Malaysia tangguh beli beras untuk simpanan

BERNAMA


BANGKOK — Malaysia mengangguhkan pengimportan sejumlah 300,00 lagi tan beras bagi tujuan simpanan berikutan simpanan sedia ada adalah mencukupi sementara harga beras dunia juga dijangka menurun tahun depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata simpanan semasa adalah lebih tinggi daripada simpanan 92,000 tan ketika negara mengalami pengurangan teruk bekalan pada Mei lepas.

Ketika itu harga dunia mencecah US$1,150 se tan, tetapi kemudian menurun kepada US$700 dan mampu untuk terus menurun dengan pertambahan pengeluaran semula daripada India dan Vietnam.

“Kita membeli 200,000 tan daripada Thailand pada harga US$940 se tan pada Mei. Kita sebenarnya mahu mengimport 500,000 tan daripada Thailand tetapi ia tidak terlalu terdesak kerana pengeluran kita dijangka meningkat sebanyak tujuh peratus tahun ini,” kata Mustapa.

Beliau diberi taklimat oleh Persatuan Pengimport Thai mengenai pasaran semasa beras dunia dan turut melawat gudang beras yang dimiliki oleh Asian Peninsula Corporation, iaitu syarikat usahasama Malaysia-Thai yang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mempunyai 49 peratus saham.

Pada 13 Mei, Bernas dan persatuan tersebut menandatangani perjanjian untuk membeli 200,000 tan beras sementara kerajaan Thailand juga menawarkan untuk menjual 300,000 lagi tan beras daripada stok simpanan 2.1 juta, di bawah persetujuan antara kerajaan dan kerajaan.

Malaysia menurut Mustapa, akan juga melihat kepada negara lain untuk mendapat stok simpanan berasnya, seperti Vietnam yang menjual beras pada harga kira-kira US$100 se tan.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengurangkan harga beras di pasaran tempatan, beliau berkata ia tidak boleh dilaksanakan pada masa ini kerana harganya sudah rendah, dengan kerajaan turut memberi subsidi RM800 juta tahun ini.

Misalnya beras hancur Super Tempatan 15 peratus (ST15) yang banyak digunakan oleh penduduk, harganya iaitu RM1.80 sekilogram merupakan harga subsidi berbanding harga sebenar RM2.50 sekilogram, kata Mustapa.

Walaupun Thailand merupakan pengeksport terbesar beras dunia, tetapi ia menjual beras jenis tersebut pada harga RM3.20 sekilogram berbanding RM2.80 yang dihasilkan oleh Malaysia, katanya.

Tambahan pula, harga beras dunia adalah dua kali lebih mahal pada 2007 iaitu US$320 se tan, di mana kerajaan dan pengguna juga perlu adil kepada pesawah yang terpaksa menaggung kos baja, pengangkutan, tenaga buruh dan bahan bakar yang lebih tinggi, katanya.

“Kita juga perlu mengambil kira keadaan mereka, jika tidak dengan kenaikan kos dan untung yang sedikit, mereka akan terpaksa berhenti bersawah,” kata Mustapa.

Tiada ulasan: