Ahad, 12 Oktober 2008

Majlis Peguam anjur debat hak asasi

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Majlis Peguam akan menganjurkan kejohanan debat Hak Asasi Manusia 2008 yang akan membincangkan pelbagai isu sejagat termasuklah pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Malaysia.

Presidennya, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, debat yang akan berlangsung pada 9 hingga 12 Disember di Kolej Damansara Utama itu diadakan sempena ulang tahun ke-60 Deklarasi Universal Hak Asasi (UDHR) 1948.

''Lebih 300 pendebat tempatan dan antarabangsa dijangka menyertainya.

''Debat ini bertujuan membincangkan isu-isu hak asasi secara terbuka. Saya tidak fikir hak asasi merupakan satu perkara yang sensitif untuk dibincangkan,'' katanya.

Ambiga berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar mengenai kejohanan debat tersebut di sini hari ini.

Kontroversi

Tema kejohanan debat berkenaan ialah UDHR @ 60 Tahun dan Masih Tidak Lengkap.

Beliau juga yakin debat berkenaan tidak akan bertukar menjadi kontroversi seperti beberapa forum anjuran Majlis Peguam sebelum ini iaitu forum Memeluk Islam dan Kontrak Sosial.

''Forum ini merupakan platform kepada golongan muda untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai hak asasi sejajar dengan kebebasan bersuara.

''Mereka yang menentang hak asasi juga dijemput hadir ke debat tersebut bagi membolehkan semua pihak mendengar suara dan pendapat golongan ini,'' katanya.

Tambah Ambiga, selain debat Majlis Peguam juga mengadakan pertandingan syarahan umum yang terbuka kepada mereka yang berminat untuk berucap mengenai sebarang topik.

Tiada ulasan: