Khamis, 16 Oktober 2008

Kes Mohamad Sabu ditetapkan 20 April tahun depan

Harakahdaily


NIBONG TEBAL - Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 20 hingga 22 April tahun depan untuk perbicaraan kes Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu yang menghadapi pertuduhan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas pada 9 Disember tahun lepas.

Bernama melaporkan, tarikh itu ditetapkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen Butterworth Ahmad Tajudin yang mewakili Majistret Mohd. Izham Ali yang mengambil cuti kecemasan hari ini.

Mohamad, 53, dituduh menghalang Supt. Mohd. Nasir Salleh melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur terhadapnya

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan Plaza Tol Bukit Tambun, Lebih Raya Utara-Selatan (Plus) berhampiran susur keluar lebuh raya dari arah Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada kira-kira 7.45 malam, 9 Disember tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mohamad bersama-sama sembilan tertuduh yang lain yang juga menghadapi pertuduhan yang sama diwakili lima peguam iaitu Asmuni Awi, Darshan Singh, Abdul Halim Mohd. Nor, Mohd Afif Abdullah dan Aqbal Shiffuddin Adnan Sallehuddin.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azhar Abdul Hamid. - mks._

Tiada ulasan: