Jumaat, 31 Oktober 2008

KES ALTANTUYA: Shariibuu tidak berpuas hati

SUARA KEADILAN
[KEMASKINI]


SHAH ALAM : Bapa kepada mangsa pembunuhan kejam, Dr Setev Shariibuu melahirkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan tertuduh ketiga, Razak Baginda pagi ini.

Ketika ditemui Suara Keadilan, Shariibuu berkata tidak sepatutnya mahkamah membebaskan Razak.

“Saya tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, hanya Razak mengenali anak saya, mustahil beliau tidak terlibat,” menurut beliau melalui jurubahasanya, Siizkhuu Sainbileg.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Razak dibebaskan sedangkan kedua-dua tertuduh Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar mempunyai prima facie di dalam kes ini.

Sementara itu, peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya, Karpal Singh merasa terkejut dengan keputusan mahkamah membebaskan Razak.

Ini kerana menurut Karpal, terdapat bukti yang jelas penglibatan Razak dalam kes pembunuhan tersebut. Bagaimanapun, beliau menerima keputusan yang dibuat oleh hakim berkenaan.

Dalam kes ini, Razak diwakili tiga peguam iaitu Wong Kian Kheong, Alex Tan dan Karen Lee,manakala Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar. Sirul pula diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.

Pagi ini, Hakim Mohd Zaki Md Yasin memutuskan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap penganalisis politik tanah air berusia 48 tahun itu.

Setelah membuat penilaian maksimum yang cukup tinggi terhadap kesemua bukti secara total, Mohd. Zaki berkata, “saya berpuas hati wujudnya kes prima facie bagi tertuduh pertama (Azilah Hadri) dan yang kedua (Sirul) untuk menjawab tuduhan.”

Manakala bagi tertuduh pertama dan kedua, Mohd Zaki juga mengumumkan 10 November ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri bagi mereka.

Menurut laporan media, Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.

Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam dan dipercayai diletupkan pada 19 Oktober 2006

Razak, ialah seorang pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, dituduh bersubahat dengan tertuduh pertama dan kedua di Wilayah Persekutuan antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober tahun 2006.

Tiada ulasan: