Isnin, 13 Oktober 2008

Kerajaan perlu kaji semula undi pos

Anis Nazri


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Sistem undi pos yang dijalankan ketika pilihan raya di negara ini memerlukan keseriusan pihak kerajaan berkenaan pelaksanaannya memandangkan ia banyak menimbulkan kontroversi.

Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) ketika mengemukakan soalan tambahan, hari ini berkata sistem undi pos ini memerlukan satu kajian semula terhadap keberkesanan dan keperluan sistem ini.

"Kita memahami bahawa dalam undi pos yang diadakan di beberapa tempat tidak mengizinkan penyertaan 'polling agent' dan 'counting agent' serta telah menimbulkan pelbagai kontroversi," kata beliau di Dewan Rakyat, ketika sesi soal jawab pagi tadi.

Tambah beliau, terdapat bukti-bukti dan kehendak rakyat yang meminta satu kajian semula berhubung sistem ini.

Justeru itu, Salahuddin mempersoalkan kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan sistem tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Aziz ketika menjawab berkata pelaksanaan sistem ini menunjukkan demokrasinya negara kita dalam perjalanan pilhan raya.

"Atas sebab untuk menyuburkan demokrasi, itu sebab mengapa kita izinkan undi pos ini kerana ia akan memberi kebenaran kepada mereka yang bertugas pada waktu hari kita membuang undi supaya membuang undi parti mana mereka mahu," kata beliau.

Tambah Nazri, apa yang perlu diberi tumpuan ialah kaedah pelaksanaan seperti cara pembuangan undi pos dibuat, serta kaedah yang boleh meyakinkan rakyat bahawa ia berjalan dengan baik.

Bagaimanapun, kata Nazri kerajaan tidak berhasrat untuk membatalkan undi pos berkenaan

Sementara itu, jawapan Nazri itu disanggah Sivarasa Rasiah (KeADILan-Subang).

Kata beliau, jumlah undi pos dalam daftar pengundi sudah melebihi 230, 000 termasuk anggota keselamatan, polis dan pegawai SPR, dan pasangan mereka, yang hampir sebilangan besar majoriti tidak terlibat pada hari pengundian.

"Mereka boleh mengundi seperti orang biasa dan amalan undi pos ini sudah menjadi 'mismomer' sebab mereka datang untuk ambil kertas undi dan membuang undi di hadapan pemerhati," kata Sivarasa.

Beliau dalam pada itu, mempersoalkan mengapa kerajaan tidak boleh melaksanakan sistem undian biasa seperti orang lain terhadap golongan yang berkenaan.

Menjawab persoalan tersebut, Nazri berkata soal keyakinan berkenaan proses pembuangan undi itu adalah terbuka, adil dan telus.

Dalam soalan asal, Dato' Ir Edmung Chong Ket Wah (BN-Batu Sapi) meminta Perdana Menteri menyatakan tindakan yang diambil kerajaan bagi memusnahkan beg-beg yang mengandungi undi-undi pos yang dijumpai di Sungai Menggatal.

Nazri, dalam jawapannya berkata penemuan karung itu tiada kaitan dengan pilihan raya umum ke-12 lalu, tetapi digunakan pada pilihan raya umum Sabah pada 1999.

"Ia disebabkan kegagalan petugas-petugas pilihan raya mengembalikan semula peralatan pilihan raya yang tidak digunakan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah. Insiden ini sama sekali tidak akan menjejaskan imej negara kecuali jika dipolitikkan kerana ia tiada kaitan dengan pilihan raya tetapi hanya merupakan soal pengurusan peralatan pilihan raya," tegas beliau. - mks._

Tiada ulasan: