Jumaat, 10 Oktober 2008

Jangan jejaskan negara - Presiden PAS
Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - PAS mengikuti dengan penuh teliti perkembangan terbaru yang melibatkan kedudukan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Malaysia.

Walau bagaimanapun PAS menganggap bahawa keputusan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam Perhimpunan Agung Umno Mac depan lebih sebagai suatu masalah dalaman bagi parti tersebut.

Demikian kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

"Saya berharap agar dalam tempoh peralihan ini Perdana Menteri akan berjaya melaksanakan inisiatif-inisiatif memperkukuhkan institusi negara yang sedang diusahakannya itu iaitu menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diberi mandat dalam pelantikan hakim, membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan," katanya

Di samping itu, inisiatif untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial agar rakyat yang miskin dapat dibantu juga ditunggu-tunggu, katanya.

Sekurang-kurangnya dengan terlaksananya inisiatif-inisiatif ini beliau akan berjaya meninggalkan jasa yang boleh dikenang oleh rakyat dan negara, katanya.

Presiden PAS juga berharap Perdana Menteri tidak membiarkan masalah-masalah ini berlarutan sehingga diwarisi pula oleh sesiapa juga pewarisnya nanti.

PAS berharap agar proses peralihan kuasa ini akan berjalan dalam suasana yang baik dan lancar tanpa menjejaskan kestabilan negara dan ketenteraman rakyat, ujarnya.

Semalam, Abdullah ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN memberitahu beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib sejurus beliau terpilih secara rasmi sebagai Presiden Umno kelak.

"Saya harap Dato' Seri Najib... anda tahu mengapa saya kata 'harap'? Sebab beliau perlu bertanding dalam pemilihan dahulu.

"Beliau perlu tanding dalam pemilihan sebagai Presiden UMNO dahulu, tapi saya percaya beliau boleh lakukannya...saya harap beliau jadi Presiden," katanya.

Perdana Menteri menegaskan keputusannya tak mempertahankan jawatan itu adalah muktamad.

Beliau juga menolak anggapan didesak untuk mengambil keputusan berkenaan.

Tiada ulasan: