Jumaat, 24 Oktober 2008

Halau pelajar: Muslimat PAS, Wanita KeADILan desak UPM beri alasan

Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Naib Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof serta Ketua Wanita KeADILan, Zuraidah Kamarudin mendesak agar pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) memberikan alasan tindakan mereka ke atas dua mahasiswi kampus berkenaan yang dihalau dari kolej kediaman baru-baru ini.

Tegas mereka, meskipun pihak UPM telah mengizinkan semula mahasiswi berkenaan menginap di Kolej Kediaman Tun Perak, ini tidak bermakna pihak UPM boleh bertindak sewenang-wenangnya dalam kes tersebut.

"Saya cukup curiga dengan tindakan UPM ke atas siswi berkenaan kerana mereka adalah tergolong di kalangan pelajar cemerlang," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau yang juga merupakan ahli Parlimen Rantau Panjang melahirkan kekecewaan apatah lagi universiti dalam negara ini cukup dikenali dengan kedudukan yang tercorot.

"Saya bimbang dengan kualiti IPTA kita yang semakin tercorot, pihak universiti pula boleh bertindak kejam secara membabi buta tanpa alasan yang munasabah membuang pelajar yang cemerlang dari kolej kediaman.

"Apa yang berlaku sekarang ini bukan sahaja memberi tekanan kepada dua siswi cemerlang berkenaan bahkan ia turut menjejaskan tumpuan serta prestasi akademik mereka," katanya.

Pada 15 oktober lalu, Universiti Putra Malaysia(UPM) digemparkan dengan peristiwa dua mahasiswi, Nur Shafiqa Mohd Ali dan Nor Farhana Farzieana Ali dipecat dari kolej setelah mendapat notis.

Mereka yang tinggal di kolej Tun Perak telah menerima notis kurang daripada 24 jam untuk mengosongkan bilik dalam suasana minggu peperiksaan.

Akhir pada semester lalu (semester 2 sesi 2007/2008) Syafiqa dan Farhana tidak mendapat penginapan di kolej pada semester seterusnya (semester sekarang).

Mereka dibuang tanpa alasan dan tiada notis dikeluarkan oleh pihak kolej.

Sejurus selepas itu, mereka menghantar surat rayuan kepada pihak kolej, kerana beranggapan mereka layak untuk meneruskan penginapan di kolej berdasarkan faktor yang diperlukan iaitu memenuhi merit yang ditetapkan, aktif dan mendapat keputusan akademik yang cemerlang.

Seminggu sebelum kemasukan semester baru (semester 1 sesi 2008/2009) mereka disahkan mendapat penempatan di kolej Tun Perak.

Namun apa yang mengejutkan, pada awal semester baru (semester sekarang), semasa pendaftaran masuk kolej, mereka dimaklumkan oleh pihak pengurusan kolej bahawa nama mereka tiada di dalam senarai pelajar yang mendapat penempatan dengan alasan tiada kekosongan kerana kolej menerima kemasukan pelajar baru dari SUKSIS.

Walaubagaimanapun, setelah berbincang dengan Timbalan Pengurus Kolej, Khairul, pihak kolej bersetuju untuk membenarkan mereka menginap di kolej.

Pada 10 oktober pula, pintu bilik mereka dikunci oleh pihak pengurusan kolej, dan diselitkan borang permohonan Mahasiswa Luar kampus (MLK) tanpa sebarang notis dan surat secara rasmi.

Empat hari kemudian iaitu 14 Oktober, notis kurang daripada 24 jam untuk mengosongkan bilik ditampal dihadapan pintu bilik mereka.

Sekali lagi surat arahan mengosongkan bilik diselitkan pada pintu tersebut.

Keesokan harinya, mereka terpaksa mengangkat sebahagian barang dan menumpang di bilik kawan.

Kes tersebut mendapat perhatian ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat, Zuraida Kamarudin dan Siti Zailah Mohd Yusoff.

Setakat ini, Zuraida telah mengadakan sidang media mendedahkan kejadian terbabit untuk perhatian pihak kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi.

Pihak UPM pula telah mengeluarkan kenyataan membenarkan mahasiswi terbabit kembali menginap di kolej itu._

Tiada ulasan: