Isnin, 6 Oktober 2008

Gerakan: Pertandingan paling sengit sejak 1968
MALAYSIAKINI


Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menang tanpa bertanding sebagai presiden Gerakan setelah tempoh pencalonan tamat pada jam 12 tengah hari tadi.

Manakala jawatan timbalan presiden pula akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Ketua Gerakan Perak Datuk Chang Ko Yuan dan bekas ketua Pemuda Wilayah Persekutuan Ma Weoi Chyi.

Bagi jawatan tiga naib presiden pula, 10 calon telah memfailkan kertas pencalonan mereka.

Mereka ialah Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan; penyandang, Datuk S Vijayaratnam; bekas Ketua Pemuda, Datuk Mah Siew Keong; bekas Ketua Pemuda Pulau Pinang, Huan Cheng Guan, Dr Asharuddin Ahmad; Ketua Bahagian Ampang, G Parameswaran; bekas Pengerusi Gerakan Sabah, Robin Loh; Dr Lim Thuang Seng; bekas Pengerusi Gerakan Selangor, Dr Lum Weng Keong dan S Paranjothy.

Manakala 40 orang mengemukakan pencalonan untuk bertanding bagi berebut 18 kerusi jawatankuasa pusat.

Sepuluh calon bagi jawatan naib presiden dan 40 calon lain bagi jawatankuasa kerja pusat merupakan bilangan yang paling ramai bertanding bagi dua jawatan itu dalam parti.

Menurut Bernama, pertandingan sengit seperti itu tidak pernah berlaku sejak Gerakan ditubuhkan pada 1968.

Sementara, Dr Koh yang memangku jawatan presiden sejak 8 April tahun lalu selepas persaraan Tun Dr Lim Keng Yaik berkata beliau terhutang budi kepada ahli parti yang memilihnya untuk terus menerajui parti.

Bina balik kekuatan

"Saya berjanji akan bertungkus lumus, berganding bahu dengan semua pemimpin dan bekerjasama dengan semua pihak di dalam dan luar parti Gerakan untuk sama-sama membina balik kekuatan Barisan Nasional (BN) dan negara," katanya.

Ditanya sama ada sebelum ini beliau menyangka tidak akan dicabar, Dr Koh berkata, beliau telah membuat persediaan untuk menghadapi sebarang pertandingan.

Beliau juga ditanya sama ada jumlah calon yang ramai bertanding pelbagai jawatan dalam pemilihan kali ini menunjukkan ahli parti tidak puas hati dengan kepimpinan parti.

Menurut Dr Koh beliau memandangnya secara positif kerana masih ramai yang berminat untuk berkhidmat dalam parti.

Mengenai keputusan Dr Asharuddin bertanding bagi salah satu jawatan naib presiden, Dr Koh menyifatkannya sebagai satu perkembangan positif kerana ia menunjukkan parti itu sebuah parti pelbagai kaum dan bukan hanya terhad kepada peringkat pemuda dan wanita tetapi juga kepimpinan pusat.

Dr Asharuddin, seorang Ahli parti biasa dari Bahagian Ijok, Selangor, mengemukakan kertas pencalonannya untuk jawatan naib presiden, yang merupakan satu-satunya calon Melayu bertanding jawatan tinggi parti itu sejak dua dekad lalu.

Parti itu akan mengadakan pemilihannya pada 11 Oktober ini.

Dr Koh juga mengumumkan bahawa setiausaha agung parti, Datuk Seri Chia Kwang Chye akan dilantik bagi satu jawatan kepimpinan pusat Gerakan selepas persidangan perwakilan kebangsaan minggu depan.

"Jawatan itu akan diumumkan kemudian," kata beliau sambil menambah bahawa keputusan melantik Chia dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CWC) parti malam tadi.

Tiada ulasan: