Ahad, 12 Oktober 2008

Gerakan gesa mansuhkan ISA, perkenal undang-undang anti-keganasan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan dan undang-undang anti-keganasan diperkenalkan, seperti cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Perkara itu merupakan antara lima resolusi utama yang diluluskan oleh persidangan perwakilan kebangsaan ke-37 parti yang berakhir di sini hari ini. Selain resolusi itu, persidangan juga meluluskan resolusi mengenai politik, ekonomi, hal ehwal parti dan pendidikan.

Persidangan tiga hari itu menggesa agar Akta Anti-Keganasan itu tertumpu kepada langkah pencegahan dengan menahan mereka yang melakukan tindakan keganasan dan juga meliputi perlindungan seperti hak kepada semakan penghakiman dan pelantikan peguam bagi tahanan.

Dalam menggalakkan keharmonian agama dan etnik, Gerakan bercadang menubuhkan pasukan pakar untuk memberikan input kepada parti bagi merumuskan kod tatalaku Barisan Nasional (BN).

Parti itu bercadang mengadakan dialog tetap dengan pelbagai badan agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai pelbagai isu kebimbangan bersama serta menggubal dan menguatkuasakan undang-undang terhadap penerbitan dan ahli politik yang mengganggugugat keharmonian antara kaum dan agama.

Gerakan bercadang melakukan penjenamaan semula parti dan menjalin kerjasama pintar dengan parti politik lain, NGO dan media, dan mengukuhkan parti dengan mengenal pasti dan membimbing pemimpin dan anggota baru yang muda dan dinamik.

Ia mahu kerajaan membuat persediaan berhubung ekonomi negara bagi menghadapi cabaran global dengan meliberalisasikan Dasar Ekonomi Baru untuk meningkatkan daya saing Bumiputera, menarik pelabur asing dan menghalang pakar daripada meninggalkan negara.

Gerakan menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan pembaharuan badan kehakiman dan menubuhkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (MCAC) untuk meningkatkan keyakinan pelabur.

Dalam usaha untuk meningkatkan ekonomi, Gerakan akan mengambil langkah sesuai dengan merumuskan inisiatif inovatif dan mengadakan mesyuarat tetap dengan pelbagai dewan perniagaan dan perdagangan, persatuan dan kesatuan perniagaan untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai ekonomi.

Menyedari pendidikan berkualiti tinggi adalah teras kepada kemajuan ekonomi negara, parti itu menegaskan model pendidikan sedia ada mempunyai banyak kekurangan ekoran kekurangan sumber manusia, ketirisan dan diskriminasi.

Mengambil kira pandangan itu, parti itu menggesa kerajaan membenarkan guru mengajar matematik dan sains dalam bahasa ibunda pelajar daripada subjek itu diajar hanya dalam bahasa Inggeris.

Parti itu juga menggesa kerajaan memberikan layanan sama rata kepada semua sekolah rendah dan menengah bantuan penuh kerajaan dan institusi bantuan separa kerajaan.

Ia merancang mengambil semua langkah sesuai dalam menentukan pendirian parti mengenai dasar pendidikan negara, di samping mengadakan perbincangan dengan jabatan kerajaan, kumpulan pendesak, NGO, pendidik, persatuan pelajar dan pemegang amanah dalam industri pendidikan.

Tiada ulasan: